Projek PSI: P. Pinang sedia beri taklimat kepada G25 - Chow

17 Feb 2023 • 6:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang sentiasa bersedia memberi taklimat dan mengadakan sesi libat urus dengan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, berhubung rancangan negeri itu untuk melaksanakan projek Pulau Pinang Selatan (PSI), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

“Kami sangat terbuka. Kami akan terus berhubung dengan mereka supaya mereka faham tentang apa yang kami cadangkan untuk mengurangkan pelbagai impak ekologi, alam sekitar dan lain-lain apabila projek ini dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bantahan terhadap projek PSI berlaku kerana ramai yang tidak tahu secara terperinci mengenai projek itu dan proses panjang yang kerajaan negeri lalui membabitkan pelbagai agensi teknikal.

Menurut Chow, kerajaan negeri malah telah membentangkan rancangannya mengenai projek PSI kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana ia membabitkan perikanan dan pengeluaran makanan laut di negeri ini.

Semalam, G25 dalam kenyataannya telah meminta Putrajaya menghentikan serta merta projek PSI bagi melindungi mata pencarian golongan nelayan.

Kumpulan itu mendakwa projek penambakan itu bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap ekosistem marin dan bakau di pantai Pulau Pinang, malah turut menjejaskan perairan Kedah dan Perak.

“Kami menggesa kerajaan baharu menghentikan projek ini demi mempertahankan ikrarnya untuk memastikan masa depan yang mampan bagi negara ini,” menurut G25.

Projek PSI yang juga dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), meliputi kawasan seluas 17 kilometer persegi dan melibatkan pembangunan tiga pulau buatan manusia di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas. -Bernama