Projek Rel Kita Selangor kini di fasa akhir memuktamadkan pembiayaan - Amirudin

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2025 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Rel Kita Selangor kini di fasa akhir memuktamadkan pembiayaan - Amirudin

image is not available

31/07/2025 - 17:05

Datuk Seri Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan perunding yang dilantik bagi projek Rel Kita Selangor, HSS Integrated Sdn Bhd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Projek Rel Kita Selangor yang dirancang bagi memperkukuh jaringan pengangkutan awam di negeri itu kini memasuki fasa akhir sebelum memuktamadkan strategi pembiayaan serta pemilihan rakan pelaburan yang sesuai.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fasa ini penting bagi memastikan projek rel bersepadu itu dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Matlamat utama projek ini adalah untuk mewujudkan rangkaian rel moden, lancar dan mesra pengguna yang menghubungkan kawasan-kawasan strategik di seluruh Selangor.

“Ini termasuk laluan terus ke Selangor Aero Park di Sepang, yang sedang dibangunkan sebagai hab logistik dan penerbangan masa depan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan perunding yang dilantik bagi projek tersebut, HSS Integrated Sdn Bhd.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Beliau berkata, jaringan rel itu juga akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi kemudahan pergerakan tenaga kerja dan pelaburan.

Rel Kita Selangor merupakan pelan jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkasa sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, bersepadu dan merangkumi kawasan pinggir bandar serta luar bandar.

“Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang lebih adil dan inklusif agar setiap lapisan rakyat mendapat akses yang sama rata.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah berkongsi pandangan dan kepakaran dalam merealisasikan langkah awal ke arah sistem rel yang lebih mampan demi Selangor yang progresif, makmur dan sejahtera,” tambahnya.

Sewaktu membentangkan Belanjawan Negeri 2024, Amirudin mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.

Projek itu dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa. - DagangNews.com

standard