Kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini telah merasmikan pembukaan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar 5G di Pasar Kedai Payang yang bertujuan untuk menjadi tapak ujian untuk permulaan pembangunan infrastruktur pendigitalan negeri tersebut.
Projek rintis ini adalah sebahagian daripada Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040 yang memperlihatkan kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur rangkaian 5G yang mencukupi dan juga untuk membangunkan sebuah bandar pintar menjelang 2040.

Projek rintis ini dimulakan di Pasar Kedai Payang, dan merupakan sebuah kerjasama diantara kerajaan negeri Terengganu bersama-sama dengan Colla Connecting Edge Sdn Bhd. Tiang Pintar 5G ini berfungsi sebagai tiang lampu, pemancar rangkaian 5G, sensor IoT dan juga CCTV pintar.
Ia juga berfungsi sebagai lokasi butang panggilan kecemasan, stesen pengecasan kenderaan elektrik, dan paparan pengiklanan digital dan penyiaran maklumat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan. Tiang Pintar ini dijangka akan dipasang di lebih banyak lokasi di sekitar negeri Terengganu kelak.


