Projek RM125 juta penting atasi banjir di Kota Kinabalu

LocalEnvironment
16 Oct 2026 • 5:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Projek RM125 juta penting atasi banjir di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (Acem) cawangan Sabah menyambut baik pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Likas bernilai RM125 juta yang meliputi koridor Inanam dan Kolombong sebagai langkah penting mengurangkan risiko banjir di ibu negeri.

Pengerusinya Ir. Benny Song (gambar) berkata projek yang dilaksanakan menerusi beberapa pakej meliputi lembangan sungai berbeza, termasuk Kolombong, serta peruntukan RM39 juta bagi Fasa Dua yang meliputi Sungai Rampayan hingga Muara Numbak, mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri menangani masalah bandar yang berlarutan di Greater Kota Kinabalu.

“Kami menghargai usaha kerajaan Persekutuan dan negeri yang bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan projek infrastruktur awam yang penting ini.

“Ketika langkah mitigasi banjir dilaksanakan menerusi beberapa pakej lembangan sungai, kami berharap skop kejuruteraan menyeluruh turut merangkumi infrastruktur kawalan pasang surut strategik, seperti pintu kawalan banjir di Kuala Inanam, bagi mengurangkan kesan aliran balik air pasang dan melancarkan pelepasan air saliran ketika hujan lebat,” katanya pada Khamis.

Acem Sabah turut menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, khususnya peruntukan pembangunan untuk Sabah.

Persatuan itu menghargai sokongan kewangan berterusan kerajaan Madani terhadap infrastruktur asas dan pembangunan sosioekonomi jangka panjang Sabah.

Benny berkata selain tebatan banjir, pembiayaan berterusan bagi sektor utiliti utama, termasuk bekalan air yang boleh dipercayai, kestabilan grid dan penjanaan elektrik serta infrastruktur jalan raya dan perbandaran, penting untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan merancakkan pertumbuhan industri.

Beliau berkata jurutera perunding tempatan dalam bidang kejuruteraan awam, struktur, mekanikal dan elektrikal bersedia bekerjasama dengan agensi kerajaan, badan pembiayaan serta jabatan teknikal bagi memastikan projek di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 dilaksanakan dengan jayanya.

“Jurutera perunding tempatan mempunyai kepakaran teknikal yang menyeluruh, termasuk dalam kerja kejuruteraan awam dan struktur, skim bekalan air pukal, penjanaan dan pengagihan elektrik serta perkhidmatan mekanikal dan elektrikal bangunan. Kepakaran ini penting untuk menterjemahkan peruntukan belanjawan kepada aset awam yang berkekalan.

“Kami berharap firma kejuruteraan perunding tempatan dapat mengambil bahagian secara aktif dan turut mendapat manfaat daripada peruntukan ini kerana penglibatan profesional tempatan memastikan setiap ringgit memberikan nilai jangka panjang, keselamatan dan mutu operasi yang optimum kepada Sabah,” katanya.

Acem Sabah menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menyokong pembangunan jangka panjang Sabah di bawah Sabah Maju Jaya 2.0.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved