
Projek Sarapan MILO® : Mulakan Hari Persekolahan Dengan Penuh Tekad
Pada pagi hari persekolahan di sebuah sekolah rendah, murid-murid beratur di kantin sebelum loceng pertama berbunyi. Kali ini, mereka bukan sekadar membeli snek ringan, tetapi menikmati sarapan yang lengkap, hidangan tempatan lazim bagi rakyat Malaysia yang dipilih daripada menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan, dan disertakan secawan MILO®.
Rutin ini berlangsung selama lima hari persekolahan berturut-turut di 200 sekolah di seluruh negara. Melalui program ini, seramai 8,000 murid daripada keluarga B40 menerima sebanyak 40,000 set sarapan, bagi memastikan murid memulakan sesi persekolahan dalam keadaan bertenaga dan lebih bersedia untuk memberi tumpuan di dalam kelas.
Fokus utama Projek Sarapan untuk Murid Sekolah bukanlah logo MILO® yang tertera pada cawan, tetapi niat di sebalik inisiatif ini, iaitu memperluas akses kepada sarapan berkhasiat untuk murid sekolah rendah yang terpaksa memulakan hari tanpa makanan, sambil melengkapi dan memperkukuh program awam yang sedia ada.
Program ini, yang dilancarkan bersama Kementerian Pendidikan pada 2021 dan diteruskan pada tahun persekolahan ini, meletakkan keutamaan pada kesejahteraan murid, kesediaan untuk belajar serta pembentukan tabiat hidup sihat jangka panjang.

Kepentingan Sarapan dalam Menyokong Pembelajaran, Bukan Sekadar Makanan
Guru-guru tentu dapat mengenal pasti tanda-tanda seseorang murid yang hadir ke sekolah tanpa bersarapan, seperti tahap tenaga yang tidak stabil dan cepat merosot menjelang pertengahan pagi, kesukaran untuk memberi tumpuan, atau kurang melibatkan diri dalam kelas. Sehubungan itu, sarapan pagi yang berkhasiat dan konsisten mampu memberi perbezaan yang nyata. Selaras dengan menu sarapan pilihan RMT dan digandingkan bersama MILO®, program ini berhasrat membantu murid mengekalkan fokus dan tenaga, dua unsur penting untuk memahami pelajaran, mengambil bahagian dalam kelas dan membina keyakinan di samping rakan sebaya.
Pelaksanaan inisiatif ini juga dirangka secara teratur agar murid yang terlibat mengetahui bahawa mereka boleh menantikan sarapan di sekolah selama lima hari berturut-turut. Konsistensi ini amat penting untuk pembentukan tabiat yang baik, khususnya dalam kalangan murid yang masih kecil. Di samping itu, program ini turut disertakan dengan sesi senamrobik dan video pendidikan pemakanan yang disampaikan oleh pakar nutrisi bertauliah. Melalui pendekatan ini, sarapan pagi menjadi pintu masuk kepada pengalaman holistik yang menggabungkan pemakanan seimbang, pergerakan dan pendidikan. Bukan sekadar menikmati makanan, murid juga didedahkan kepada kepentingan sarapan berkhasiat serta cara mengamalkan gaya hidup aktif secara menyeronokkan dan berterusan.

Kerjasama yang Berteraskan Tujuan
Yang lebih penting, program ini direka untuk melengkapi sokongan sedia ada tanpa menggandakan usaha yang sama. Ramai keluarga bergantung kepada skim RMT untuk memastikan anak-anak yang bersekolah mendapat akses kepada makanan berkhasiat. Projek Sarapan untuk Murid Sekolah memperluaskan sokongan tersebut dengan menjangkau murid yang berada di luar liputan rasmi namun masih berdepan cabaran kekurangan makanan.
Seperti yang dinyatakan oleh Zainal Bin Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah):
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan untuk memastikan tiada murid memulakan hari persekolahan dalam keadaan lapar serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan fokus,
khususnya bagi murid daripada komuniti kurang berkemampuan. Ia juga membantu meringankan beban kewangan keluarga semasa musim kembali ke sekolah dan menyokong pengusaha kantin sekolah yang memainkan peranan penting dalam penyediaan sarapan berkhasiat tersebut, sekali gus mengukuhkan tanggungjawab bersama bagi menjaga kesejahteraan murid.”
Kenyataan beliau menonjolkan satu aspek penting yang sering terlepas pandang. Apabila program sarapan pagi disepadukan secara terancang melalui ekosistem sekolah, ia turut menyokong ekonomi pengusaha kantin serta kakitangan sekolah yang terlibat dalam penghidangan makanan ini. Keakraban mereka dengan murid dan kebiasaan dengan persekitaran sekolah membantu menjayakan perlaksanaan program agar sokongan dapat disampaikan dengan penuh keprihatinan kepada mereka yang paling memerlukan.

Dari Perspektif Murid: Kisah Kecil yang Besar Maknanya
Ukuran sebenar keberkesanan sesuatu inisiatif datang daripada pengalaman mereka yang menikmatinya. Kata seorang murid Tahun 5: “Kadang-kadang saya datang sekolah tanpa makan sebab ibu pergi kerja awal. Bila saya dapat sarapan di sekolah, saya tak rasa mengantuk dalam kelas. Saya boleh jawab soalan cikgu.”
Seorang lagi murid menambah dengan senyuman malu: “Saya suka bila kami makan sama-sama. Rasa lebih gembira datang sekolah.”
Walaupun kelihatan sederhana, suara-suara ini mengambarkan bagaimana perubahan kecil boleh memberi kesan sepanjang hari, sama ada dalam bentuk keyakinan yang lebih tinggi, tenaga yang lebih stabil ataupun rasa kebersamaan dalam komuniti sekolah.
Maruah yang Dipelihara Melalui Pendekatan Inklusif
Terdapat satu nilai maruah yang tersirat apabila rutin sokongan dibina tanpa menonjolkan murid yang memerlukan bantuan. Dengan menjadikan sarapan sebahagian daripada rutin harian sekolah, inisiatif ini membantu mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan bantuan. Daripada dilihat sebagai “bantuan” atau “amal kebajikan”, sokongan tersebut lebih dirasai sebagai amalan bersama dalam komuniti sekolah.
Peralihan daripada perspektif kekurangan kepada rasa kebersamaan ini mungkin kecil, namun amat bermakna dan penting untuk kesejahteraan emosi murid. Bagi murid, pengalaman ini mampu memberi kesan positif terhadap harga diri mereka, yang seterusnya mempengaruhi kehadiran ke sekolah, penglibatan dalam pembelajaran serta pembentukan jati diri di sekolah.

Lebih Daripada Tenaga Fizikal
Menggabungkan sarapan dengan Senamrobik MILO® serta pendidikan pemakanan yang sesuai dengan peringkat umur bukan sekadar aktiviti tambahan, malah adalah asas program ini. Pergerakan fizikal merangsang minda untuk pembelajaran, manakala sesi pendidikan pemakanan yang ringkas dan interaktif membantu murid memahami kaitan antara makanan, tahap tenaga dan keupayaan memberi tumpuan di sekolah.
Sesi tersebut turut menampilkan video oleh pakar nutrisi bertauliah, yang membantu menerjemahkan konsep seperti “diet seimbang” atau “tenaga untuk belajar” kepada mesej yang lebih praktikal dan mudah difahami. Penekanan program ini bukanlah untuk memberi ceramah semata-mata, tetapi untuk memupuk kesedaran dan keupayaan membuat pilihan sendiri dalam kalangan murid.
Mesej untuk Keluarga dan Masa Depan
Bagi ramai ibu bapa yang yang perlu mengimbangi waktu kerja syif, kos pengangkutan dan peningkatan kos sara hidup, jaminan bahawa anak mereka mendapat sarapan sihat di sekolah memberikan ketenangan. Ia mengurangkan satu beban dalam kesibukan pagi yang tidak menentu. Seorang ibu, saat menunggu anaknya di pagar sekolah, berkata, “Saya rasa lebih lega bila tahu anak saya mula hari dengan makanan sihat. Ini bantu keluarga kami, bukan dia seorang saja.”
Ng Su Yen, Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad, turut menjelaskan tujuan tersebut:
“Sarapan berkhasiat merupakan penting kepada pertumbuhan, pembelajaran dan kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak. Kami berharap inisiatif ini dapat membantu murid daripada keluarga yang menghadapi kesukaran memenuhi keperluan pemakanan agar mereka dapat memulakan hari persekolahan dengan lebih bertenaga. Program ini menegaskan komitmen berterusan MILO® untuk memupuk tabiat sihat yang berkekalan sepanjang hayat dalam kalangan komuniti.”

Menilai Impak Yang Lebih Luas
Penyediaan 40,000 set sarapan merupakan petunjuk jelas tentang pencapaian program ini. Namun, penilaian impak yang lebih luas bukanlah sesuatu yang mudah diukur secara segera. Kesan yang paling bermakna biasanya terbentuk secara beransur-ansur. Walau bagaimanapun, petanda awal sudah kelihatan: murid lebih aktif bertanya, tidak lagi letih sebelum rehat, dan menyertai senamrobik dengan lebih ceria. Tanda-tanda kecil ini akan berkumpul dan menjadi satu perubahan besar, di mana pemakanan dan pergerakan menjadi sebahagian dari budaya sekolah, bukan lagi sesuatu pilihan.
Seruan untuk Kelangsungan
Nilai jangka panjang Projek Sarapan untuk Murid Sekolah tidak hanya terletak pada jumlah hidangan yang disediakan pada minggu ini, tetapi juga pada tabiat dan harga diri yang mula dibentuk dalam kalangan murid. Apabila sebuah negara menetapkan bahawa “tiada murid patut memulakan hari dalam keadaan lapar,” dan institusi serta sektor swasta bekerjasama untuk menjadikannya nyata di kantin sekolah, hasilnya menjadi satu manfaat awam yang melangkaui sesebuah program semata-mata .
Seperti kata seorang murid kecil sambil menggenggam cawan MILO® sebelum loceng berbunyi: “Saya sudah bersedia!”
Dan itulah kejayaan sebenar: satu sarapan, satu murid, satu pagi selangkah demi selangkah.
