Projek sekolah dipantau, isu penyelenggaraan diberi keutamaan - Exco Johor

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 10:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Projek sekolah dipantau, isu penyelenggaraan diberi keutamaan - Exco Johor
Muhamad Naqib (lima dari kanan) pada hari pertama pembukaan SMK Suria Jaya, Batu Pahat pada Isnin.

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri akan mewujudkan jawatankuasa khas penyelesaian dan pemantauan bagi memastikan projek pembinaan sekolah terbengkalai serta penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Muhamad Naqib Md Ghazali berkata, cadangan itu dibuat selepas melihat sendiri pelbagai isu berkaitan sekolah ketika turun ke lapangan, termasuk masalah infrastruktur dan penyelenggaraan.

Menurut beliau, antara perkara yang sering dibangkitkan oleh pengetua dan guru besar ialah masalah bumbung, longkang serta kemudahan sekolah.

“Hasil perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) baru-baru ini, kami mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk memantau dan menyelesaikan permasalahan infrastruktur serta penyelenggaraan sekolah.

“Penyelenggaraan sekolah bukan hanya bergantung kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar sahaja kerana ini merupakan isu besar yang saya lihat ketika turun ke lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari pertama operasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPN, Mohd Azmi Abd Rahman.

Dalam pada itu, Muhamad Naqib berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan masalah sekolah dapat dikenal pasti, dirancang dan diselesaikan mengikut keutamaan.

Katanya, perancangan penyelenggaraan juga wajar dibuat untuk tempoh lima tahun dengan memberi keutamaan kepada sekolah yang mempunyai keperluan paling mendesak.

“Mungkin kita utamakan sekolah kategori A yang keperluannya lebih mendesak, kemudian kategori B dan C.

“Dalam masa lima tahun ini, kerajaan negeri ada perancangan yang baik untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai SMK Suria Jaya, beliau berkata, pembukaan sekolah itu menjadi sejarah selepas penduduk setempat menantikan kemudahan tersebut hampir 11 tahun.

Katanya, kelewatan pelaksanaan projek bukan sahaja menyebabkan penduduk terpaksa menunggu lama, malah bangunan dan perabot yang telah disediakan turut mengalami kerosakan.

“11 tahun lama menunggu. Sayangnya bangunan yang sudah siap pun rosak. Perabot yang dah diberikan juga rosak dan sebagainya, menyebabkan kos bertambah lagi.

“Kalau ada perancangan dan pemantauan yang baik, perkara seperti ini boleh dielakkan,” katanya.

Seramai 222 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga mengikuti sesi persekolahan pada fasa pertama dengan pembukaan sembilan kelas sebelum kapasiti sekolah ditingkatkan kepada 30 kelas yang mampu menampung kira-kira 900 pelajar apabila beroperasi sepenuhnya pada 2027.

Dalam pada itu, Muhamad Naqib berkata, isu kepadatan murid dan pelajar sekolah di kawasan berpenduduk padat di negeri ini juga akan ditangani melalui perancangan pembangunan yang lebih bersepadu.

Katanya, kawasan perumahan yang mempunyai lebih 1,000 unit rumah akan dikenal pasti bagi melihat keperluan pembinaan sekolah tambahan.

“Pembangunan makin rancak terutama di Johor Bahru. Jadi perancangan yang bersepadu mesti diusahakan demi kesejahteraan penduduk.

“Bukan hanya pembangunan sahaja, tetapi fasiliti masjid, kesihatan dan sekolah juga perlu dirancang bersama supaya manfaat pembangunan lebih dirasai rakyat,” katanya.

Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved