Projek tebatan banjir Penampang secara berperingkat

19 Feb 2023 • 12:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: Usaha untuk menangani masalah banjir di Penampang telah dan sedang dijalankan melalui Projek Tebatan Banjir yang dilaksanakan secara berperingkat.

Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pakej 1 dan 3 Projek Tebatan Banjir Penampang melibatkan Sungai Moyog sedang dilaksanakan. Manakala cadangan untuk Pakej 2 dan 4 pula telahpun dibawa ke Mesyuarat Kabinet Persekutuan pada Jumaat lalu untuk tindakan segera.

Beliau berkata berdasarkan taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Penampang baru-baru ini, Pakej 1 melibatkan pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog iaitu membina dan menaiktaraf parit, penambahbaikan parit dan kerja-kerja berkaitan di Sungai Kibabaig telahpun dimulakan pada November 2016 dan dijadualkan siap pada 2019.

“Bagaimanapun ia mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa isu antaranya isu pencerobohan struktur-struktur rumah dalam rizab perparitan. Ketika ini kemajuan projek adalah 79.41 peratus dan tarikh penyiapan dilanjutkan sehingga Disember 2024.

“Manakala Pakej 3 pula melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Sungai Putatan. Projek ini telahpun dimulakan pada Jun 2017 dan tarikh siap asal pada Disember 2020, namun tarikh siap dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.

“Antara isunya ialah terdapat penempatan setinggan di kawasan projek yang masih belum dirobohkan. Pihak kontraktor hanya dapat memasuki tapak di kawasan yang tiada halangan setinggan.

“Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) memaklumkan bahawa ada pemilik rumah setinggan yang telah menerima bayaran saguhati berserta notis untuk mengosongkan rumah terlibat. JTU juga telah mengeluarkan notis susulan kepada pemilik setinggan yang telah menerima bayaran saguhati tetapi masih belum mengosongkan atau berpindah dari tapak projek tersebut,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai projek tebatan banjir di Penampang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merakyatkan Koperasi anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di ITCC Penampang, di sini, Sabtu.

Ewon berkata, bagi Fasa 2 dan 4 pula beliau telah mencadangkan supaya projek pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Moyog dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta dapat dimasukkan dalam agihan peruntukan tebatan banjir bermula tahun ini.

Beliau berkata, cadangan untuk pembangunan lembagan sungai bersepadu Sungai Moyog itu dijangka dimulakan pada 2024 dan dijangka siap pada 2029.

Ewon turut mencadangkan sejumlah peruntukan khas bencana disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyelenggara dan membaik pulih parit-parit, anak sungai dan sungai yang tersumbat di Penampang, dan menjadi antara punca limpahan dan takungan air banjir.

“Kita sedia maklum masalah banjir bukan sahaja satu fenomena alam tetapi ia juga disebabkan oleh beberapa faktor lain, termasuk parit tersumbat atau tidak diselenggara.

“Beberapa hari lalu saya telah meninjau sendiri beberapa kawasan yang dikatakan penduduk kampung menjadi punca berlakunya banjir di kawasan itu bersama pejabat daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS.

“Hari ini (Sabtu) saya juga telah meninjau beberapa kawasan sekitar Sungai Moyog dan Sungai Putatan yang menjadi penyumbang berlakunya banjir.

“Saya dapati selain Projek Pan Borneo, penyebab lain termasuk parit tidak diselenggara, pembinaan jambatan sementara dan pembinaan rumah di tepi sungai,” katanya.

Ewon berkata, semua isu itu memerlukan penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak bukan sahaja jabatan teknikal dan wakil rakyat, tetapi penduduk kampung juga harus bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Ewon berkata selain masalah banjir, beliau turut memberikan perhatian kepada masalah kesesakan lalu lintas di Penampang.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.