Prolintas Ingin Menjadikan Hentian SUKE Sebuah Tarikan Dengan Berlatarbelakangkan Pemandangan Indah Kuala Lumpur

Local
28 Sep 2022 • 8:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Prolintas Ingin Menjadikan Hentian SUKE Sebuah Tarikan Dengan Berlatarbelakangkan Pemandangan Indah Kuala Lumpur

Beberapa hari yang lepas, Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway atau lebih mudah dikenali dengan nama Lebuhraya SUKE telah dibuka kepada pengguna jalan raya. Lebuhraya ini merangkumi laluan sepanjang 24.4 kilometer dan mempunyai 14 susur keluar-masuk. Buat masa sekarang, hanya Fasa Pertama Lebuhraya SUKE sudah dibuka kepada orang ramai iaitu sepanjang 16.6 kilometer bermula daripada susur masuk Cheras-Kajang — daripada Lebuhraya Grand SAGA (berhampiran Plaza Phoenix, Cheras) sehingga Bukit Antarabangsa.

Sumber: Paultan

Buat masa sekarang juga, tiada kadar tol yang dikenakan ke atas pengguna jalanraya yang menggunakan Lebuhraya SUKE ini. Penggunaan lebuhraya secara percuma ini telah ditetapkan untuk jangkamasa satu bulan bermula daripada hari pertama perasmian Lebuhraya SUKE iaitu pada 16 September 2022 yang lalu.

Jika anda pernah melalui lebuhraya ini dalam masa seminggu yang lepas, anda pasti akan dapat melihat latar langit bandaraya Kuala Lumpur yang cantik. Ramai pengguna Lebuhraya SUKE setuju bahawa pemandangan sewaktu memandu di lebuhraya ini berbeza daripada lebuhraya-lebuhraya Malaysia yang lain. Namun, disebabkan tiada tempat yang sesuai untuk pengguna kenderaan meletakkan kenderaan mereka, kebanyakannya hanya meletakkan kenderaan di kawasan kecemasan untuk mereka mendapatkan foto atau video latar langit yang cantik tersebut. Malahan, pada hari pertama lebuhraya ini dibuka kepada orang ramai, seorang penunggang motosikal telah melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan kerana ingin mengambil foto pemandangan bandaraya Kuala Lumpur tersebut. Maka buat masa ini, banyak kawasan hentian kecemasan telah diletakkan kon kecemasan bagi mengelakkan pengguna-pengguna lebuhraya berhenti untuk mengambil foto atau video.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Encik Mohammad Azlan ada menyatakan bahawa syarikat berkenaan bercadang untuk membina hentian rehat untuk pengguna-pengguna lebuhraya tersebut di masa akan datang. Menurut beliau, hentian rehat ini bukan hentian rehat yang tipikal seperti yang dijumpai di lebuhraya-lebuhraya Malaysia. Syarikat Prolintas bercadang membina sebuah fasiliti bertingkat bagi memudahkan pengguna-pengguna lebuhraya datang ke hentian rehat tersebut dan menikmati latar langit dan pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur dengan lebih mudah dan selamat.

Menurut Encik Mohammad Azlan lagi, hentian rehat tersebut akan dibina berhampiran Taman Tasik Tambahan di Ampang. Fasiliti ini dijangka siap dalam masa 18 hingga 36 bulan lagi. Selain itu, Lebuhraya SUKE dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan. Lebuhraya ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalulintas sebanyak 30% di Lebuhraya MRR2, 36% kesesakan di Jalan Ampang dan 12% di Jalan Loke Yew.

Semoga kita semua boleh menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan memandu dengan cermat dan selamat.


Saya Zuan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.