
SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak 400 pemain industri pelancongan tempatan dan antarabangsa menyertai Selangor Travel Mart anjuran Tourism Selangor di Royale Chulan Damansara pada 15 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad berkata penganjuran sulung acara itu merupakan permulaan penting kepada Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) yang menyasar kehadiran lapan juta pengunjung.
“Selangor Travel Mart menawarkan pelbagai tarikan pelancongan di Selangor yang dijangka mampu menjadi tarikan utama pada TMS2025.
“Antara tarikan pelancongan termasuk Gamuda Land Play, Sky Mirror Tours and Travel, Selangor Fruit Valley, Jumpstreet Asia, Chocolate Museum, Farm Fresh dan Fraser Valley,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Azrul, Selangor Travel Mart turut berjaya menarik pelancong berpotensi dari 30 negara seperti Indonesia, Singapura, Maldives, Vietnam, United Kingdom, Kanada, Switzerland dan China.
Jelasnya, kejayaan acara berkenaan merupakan bukti Selangor memiliki potensi untuk meraih perhatian pelancong khususnya dari luar negara sempena TMS2025.
“Tourism Selangor akan meneruskan usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang kukuh dan sebagai salah satu peneraju industri pelancongan di Malaysia,” katanya.
The post Promosi TMS2025: Selangor Travel Mart tarik pelancong dari 30 negara appeared first on Selangorkini.

