Prosedur pengambilan suntikan vaksin Covid-19 sama seperti sebelum ini: Dzulkefly

LocalHealth & Fitness
20 Dec 2023 • 5:34 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Sama seperti prosedur sebelum ini, orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersenarai secara walk-in atau melakukan janji temu terlebih dahulu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, janji temu itu boleh dibuat menggunakan aplikasi MySejahtera, sebagaimana tatacara tempahan semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, terdapat 234 PPV di klinik kesihatan di seluruh negara.

“Sekiranya terdapat pertambahan atau perubahan kepada bilangan PPV, KKM akan mengemaskini maklumat tersebut dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan senarai PPV menerusi aplikasi MySejahtera.

Dr Dzulkefly memaklumkan, pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela.

Bagaimanapun, katanya, KKM menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19, terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.

“Vaksin COVID-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi daripada komplikasi teruk sekiranya dijangkiti,” katanya.

Menurutnya, KKM menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan serta tidak menularkan Covid-19 kepada orang lain, dengan mengamalkan 3W, iaitu Wash (kerap mencuci tangan dengan air dan sabun), Wear (memakai pelitup muka) serta Warn (mematuhi amaran KKM yang berkonsep peringatan).

“Mereka juga perlu mengelakkan 3S, iaitu mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat,” katanya.

Kes Covid-19 kembali menunjukkan peningkatan sejak beberapa minggu lalu, malah jumlah kemasukan ke hospital dilaporkan bertambah.

Namun, Dr Dzulkefly menerusi kenyataannya kelmarin berkata, KKM tidak bercadang untuk melaksanakan sekatan, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan situasi itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, KKM sedang melaksanakan lima langkah dan strategi dalam menghadapi peningkatan jangkitan itu.

Malah, katanya, selain mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan, fasiliti kesihatan ketika ini sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital. – 20 Disember, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved