Proses Bedah Siasat 4 Mangsa Tanah Runtuh Selesai - Polis

23 Dec 2022 • 7:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Usaha pengesanan seorang lagi mangsa terakhir turut dibantu sembilan ekor anjing pengesan K9. - Gambar oleh Sairien Nafis

BATANG KALI - Proses bedah siasat melibatkan empat mangsa korban tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang ditemui semalam, telah selesai.

Ketua Polis Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kempat-empat mangsa insiden berkenaan juga telah dituntut waris.

“Buat masa ini nama mangsa tidak boleh didedahkan kerana siasatan masih dibuat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa terakhir, yang bersambung pada pukul 8 pagi tadi, masih belum menemui sebarang petunjuk positif.

SAR itu disertai 97 pegawai dan anggota diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dibantu polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam, dengan usaha pengesanan turut dibantu sembilan ekor anjing pengesan K9, katanya.

Tragedi tanah runtuh berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas, 16 Dis itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit.

Suffian berkata sebanyak 11 jentera berat juga digunakan di lokasi pencarian untuk mengesan mangsa terakhir. - Bernama