Proses Pengundian PRK KKB Bermula

Politics
11 May 2024 • 8:28 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Petugas SPR menjalankan proses semakan isi peti undi semalam. - Gambar SPR

KUALA LUMPUR - Proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) bermula serentak pada jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses berkenaan dikendalikan 760 petugas, melibatkan 18 Pusat Mengundi dan 74 saluran.

Menurut beliau, semua pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian.

“Mereka boleh menunjukkan maklumat pengundian kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian,” katanya.

Jelas beliau, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan keluar mengikut masa dicatatkan pada MySPR Semak.

“Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan.

“Majikan juga dingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,0 katanya.

Ikmalrudin memberi amaran, penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan.

“Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam saluran,” katanya.

Tegas beliau, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen.

“Mereka juga dilarang membawa sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi 4,119. - Getaran, 11 Mei 2024