
KUALA LUMPUR - Kesatuan Kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Sarawak (Kapenas Sarawak) menyatakan solidariti bersama pekerja yang terjejas susulan penyelarasan tenaga kerja yang diumumkan Petronas baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Kapenas Sarawak berkata, kesatuan itu bagaimanapun komited untuk memastikan langkah berkenaan dilaksanakan dengan adil dengan mengambil kira kepentingan semua pekerja yang terjejas.
Jelasnya, keprihatinan utama kesatuan ini adalah terhadap kebajikan, maruah dan keselamatan pekerjaan para pekerja yang merupakan tunjang utama industri tenaga negara.
"Tenaga kerja dalam industri minyak dan gas kini berhadapan dengan persekitaran kerja yang mencabar, termasuk waktu kerja yang panjang, penempatan di kawasan terpencil dan ketidakstabilan pekerjaan.
“Kebimbangan turut timbul berhubung ketidaksamaan gaji antara pekerja tempatan dan antarabangsa, serta peningkatan kos sara hidup di kawasan tumpuan industri seperti Miri dan Bintulu, yang menambah tekanan kewangan dan emosi kepada pekerja,’’ katanya.
Kapenas Sarawak ditubuhkan pada 1985 dan mewakili lebih 2,000 rakyat Sarawak yang bekerja di seluruh negeri itu termasuk di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.
Baru-baru ini, Petronas memaklumkan ia bakal mengurangkan 10 peratus daripada tenaga kerjanya dalam mendepani cabaran operasi yang sukar terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.
Menurut presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bilangan kakitangan yang terbabit dalam proses pengurangan itu berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan secara berperingkat sepanjang tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata kebanyakannya yang terlibat adalah berstatus pekerja kontrak.
Mengulas lanjut, Kapenas Sarawak berkata, fokus utamanya ialah termasuk memastikan proses yang adil dan telus, melindungi hak dan kebajikan pekerja, memperjuangkan program pemerkasaan dan pembangunan kerjaya, menuntut ganjaran dan faedah yang saksama serta mempromosikan keterangkuman sosial dan dialog terbuka.
“Kesatuan menggesa semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama demi memastikan industri tenaga yang progresif, makmur dan saksama yang memberi keutamaan kepada modal insan.
“Kapenas Sarawak juga memperjuangkan ‘peralihan adil’ ke arah industri tenaga rendah karbon, yang memberi keutamaan kepada pekerjaan yang selamat, menyokong kesejahteraan keluarga, dan membina komuniti sihat, tanpa membebankan pekerja dengan kos perubahan industri,’’ katanya. - 8 Jun, 2025
The post Proses penyelarasan tenaga kerja Petronas perlu dikendalikan secara adil, telus: Kapenas Sarawak appeared first on Scoop.


