Proses rakaman keterangan Rafizi disambung esok - SPRM

LocalPolitics
6 May 2026 • 10:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Proses rakaman keterangan Rafizi disambung esok - SPRM
Proses merekod keterangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan diteruskan pada Khamis.

PUTRAJAYA - Proses merekod keterangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan diteruskan pada Khamis.

Ini bagi membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Sebelum itu, proses merekod keterangan Ahli Parlimen Pandan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini telah memasuki hari ketiga pada Rabu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 2 petang.

“Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga (Rabu) telah selesai kira-kira jam 7 malam.

“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari keempat esok (Khamis) yang dijangka dibuat sebelah pagi,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keterangan Rafizi direkodkan bermula 4 Mei lalu bagi membantu siasatan.

SPRM memaklumkan sebanyak 22 keterangan telah diambil termasuklah dalam kalangan menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.

SPRM sebelum itu juga telah mengambil keterangan bekas pegawai Rafizi iaitu Chai Jin Shern atau James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula 28 April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.