KUALA LUMPUR – Prosiding bela diri kes subahat rasuah melibatkan balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette A Samad di Mahkamah Sesyen di sini selesai selepas pembelaan menutup kes pada Khamis.
Peguam, Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette berkata demikian selepas bekas pelakon berusia 48 tahun itu selesai memberi keterangan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 24 April depan sementara hujahan balas pada 8 Mei.
“Hujahan lisan akan dibuat pada 18 Mei depan, pada jam 9 pagi,” kata hakim selepas prosiding.
Dalam perbicaraan berkenaan, pelakon terbaik Anugerah Skrin menerusi drama ‘Aduhai Esah’ itu selesai membaca pernyataan saksinya setebal 13 muka surat.
Sebelum ini, beliau memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 24 Disember tahun lepas, supaya tiga kes subahat rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dihadapinya digugurkan, iaitu tiga minggu selepas kematian Allahyarham Bung Moktar.
Ketua UMNO Sabah itu meninggal dunia pada jam 1.46 pagi 5 Disember 2025 selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah RM2.8 juta.
Bagaimanapun, perbicaraan membabitkan Zizie Izette tetap diteruskan dan perbicaraan ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac.
Zizie Izette mengaku tidak bersalah pada 3 Mei 2019 atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, sebagai upah untuk suaminya mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.
