Prospek Chin Well bertambah baik disokong jangkaan ekonomi Eurozon berkembang sehingga 2025 – PublicInvest
diyana
03/07/2023 - 09:58
KUALA LUMPUR 3 Julai - Prospek Chin Well Holdings Berhad bertambah baik walaupun cabaran berterusan, memandangkan ekonomi Eurozone dijangka terus berkembang tahun ini sehingga 2025, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu berkata Eropah menyumbang 42.9% daripada jumlah pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2022 (FY22), serta dijangka kekal sebagai pemacu pasaran dan pertumbuhan utama, terutamanya produk kerja bertukang sendiri atau do-it-yourself (DIY).
Selepas menguncup untuk dua suku terakhir berturut-turut, firma itu berkata ekonomi Eurozone dijangka kembali kepada pertumbuhan pada suku akan datang disokong oleh penurunan harga tenaga, pengurangan kekangan bekalan, keyakinan perniagaan yang bertambah baik dan pasaran buruh kukuh.
“Pengurusan kumpulan juga menjangkakan lebihan stok inventori di pasaran Eropah berkurangan, dengan aktiviti penyimpanan semula mungkin meningkat menjelang akhir 2023.
“Namun, margin dijangka kekal di bawah tekanan berikutan harga jualan purata (ASP) lebih rendah disebabkan persaingan harga dari China dan kos pembuatan lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas lanjut pertumbuhan ekonomi Eurozon, PublicInvest berkata data terkini menaikkan prospek pertumbuhan bagi Eurozone, yang dijangka kembali kepada pertumbuhan pada suku-suku mendatang dengan jangkaan perkembangan sebanyak 0.9% (2023), 1.5% (2024) dan 1.6% (2025).
Oleh itu, firma tersebut mengekalkan ramalan dan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.17 sesaham.
Di pasaran domestik pula, firma itu berkata terdapat juga tanda-tanda peningkatan permintaan, dirangsang oleh projek pembinaan di Malaysia iaitu Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).
Namun begitu, jelasnya, tinjauan jangka pendek kumpulan kekal mencabar berikutan permintaan lemah dan pemampatan margin yang berterusan, didorong oleh kos lebih tinggi dan ASP lebih rendah.
“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada segmen DIY dan pengembangan produk baharu dalam pasaran hiliran untuk menampung permintaan yang semakin lemah dan tekanan margin,” tambahnya. - DagangNews.com



