Prospek industri aluminium kurang meyakinkan ekoran permintaan global suram – RHB Investment
diyana
05/03/2024 - 09:59
KUALA LUMPUR 5 Mac - RHB Investment menurunkan penarafan sektor bahan binaan kepada ‘neutral’ daripada ‘overweight’ dan berpendapat bahawa prospek industri aluminium kurang meyakinkan berikutan permintaan global suram.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ia tidak menjangkakan prospek yang baik untuk sektor aluminium berikutan lebihan bekalan yang dijangka berlaku pada tahun kewangan 2024 (FY24).
Walaupun tahap inventori aluminium rendah dari segi sejarah, firma tersebut berkata permintaan aluminium global kekal tidak memberangsangkan dan ini menghalang purata harga jualan (ASP) daripada kembali meningkat.
“Permintaan suram juga berlarutan di benua Eropah, dengan sub-sektor memaparkan prestasi bercampur-campur di China.
“Walaupun Press Metal Aluminium Holdings Bhd mendapat pengiktirafan dunia sebagai antara syarikat peleburan berkos paling murah, kami menyemak semula saranan untuk saham ini kepada ‘neutral’ (TP: RM4.95) berikutan sentimen sederhana yang melanda industri aluminium, selain diburukkan lagi oleh potensi kenaikan yang terbatas untuk penilaian Press Metal sekarang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Daripada tiga syarikat dalam sektor bahan binaan di bawah liputan RHB Investment, keputusan kewangan Malayan Cement Bhd mengatasi jangkaan manakala Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) dan Press Metal merekodkan keputusan yang tersasar.
Seiring dengan penurunan dalam harga keluli dan premium dalam rantau pasaran, perolehan teras FY23 untuk Press Metal jatuh sedikit di bawah paras anggaran firma dan konsensus.
Bagi penggiat industri simen pula, Malayan Cement (beli, TP: RM5.65), yang menjadi pilihan utama RHB Investment bagi sektor ini, mencatat prestasi separuh pertama FY24 melangkaui jangkaan, sedangkan CMS (neutral, TP: RM1.06) gagal memenuhi sasaran.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa, bahagian simen CMS menunjukkan penambahbaikan secara berturut-turut sehingga menjadi data sokongan kepada gambaran positif firma untuk prospek simen di Sarawak.
Bagaimanapun, keseluruhan keputusan kewangan CMS menghampakan akibat kerugian yang semakin besar dalam bahagian fosfat dan prestasi merosot dalam segmen perniagaan lain.
Menurut RHB Investment, harga anod karbon telah menurun kepada di bawah paras 4,000 yuan setiap tan dan dijangka kekal pada paras semasa tanpa sebarang kekurangan bekalan yang ketara.
“Sebaliknya, alumina telah meningkat, mencecah kira-kira AS$367 setiap tan pada akhir Januari (naik 10% bulan ke bulan) didorong kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan berikutan letupan depot bahan api di Guinea yang menjejas bekalan bauksit.
“Harga simen pukal pula telah stabil dan terus kekal pada RM380 setiap tan setakat Januari dan kami menjangkakan ia kekal dalam julat ini memandangkan permintaan yang dijangkakan,” tambahnya. - DagangNews.com

