Prospek ITMAX cerah susulan tempahan belum ditagih RM1.45 bilion, kata HLIB

28/05/2025 - 11:19
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 Mei - Syarikat teknologi, ITMax System Bhd berada dalam kedudukan kukuh untuk memperoleh lebih banyak projek dalam masa terdekat, dengan jumlah tempahan belum ditagih melebihi RM1.45 bilion setakat suku pertama tahun 2025 (1Q25).
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, ITMAX berjaya memenangi lima daripada 16 kontrak pihak berkuasa tempatan di Johor bagi pelaksanaan sistem bandar pintar.
"Projek yang dimenangi ITMAX setakat ini melibatkan sistem infrastruktur digital dan lampu isyarat pintar.
"HLIB percaya ITMAX mungkin akan meraih projek lain seperti lampu jalan pintar dan tempat letak kereta pintar, yang sudah mula dijalankan di tujuh majlis tempatan," katanya dalam satu laporan.
Jelasnya, ITMAX selain itu turut mendapat projek baharu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berjaya memasuki pasaran Pulau Pinang buat kali pertama.
ITMAX menawarkan sistem teknologi untuk ruang awam, dengan fokus kepada lampu jalan, kamera pemantauan, pengurusan trafik dan rangkaian komunikasi.
Setakat akhir 1Q25, nilai keseluruhan tempahan tender ITMAX melebihi RM500 juta, manakala tempahan belum ditagih sebanyak RM1.45 bilion dijangka disiapkan secara berperingkat sehingga Mei 2039.
Dalam suku pertama 2025, ITMAX mencatatkan pendapatan RM50.7 juta dengan keuntungan bersih teras suku tahunan sebanyak RM20.3 juta, sejajar dengan jangkaan penganalisis.
HLIB mengekalkan saranan 'beli' untuk saham ITMAX dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.17.
"Syarikat ini juga layak menerima penilaian premium kerana penglibatannya dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), terutamanya di peringkat aplikasi," ujar HLIB.
HLIB turut menyifatkan ITMAX sebagai penyedia rumusan sistem bandar pintar tempatan yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang berasaskan tempahan dan tender yang kukuh. - DagangNews.com
standard


