Prospek jangka panjang Pantech berpotensi berkembang daripada projek CCUS, penghantaran hidrogen – TA Securities
diyana
24/10/2023 - 09:55
KUALA LUMPUR 24 Okt - TA Securities yakin dengan prospek jangka panjang Pantech Group Holdings Berhad berikutan potensi kumpulan untuk berkembang daripada projek penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan penghantaran hidrogen pada masa hadapan.
Firma penyelidikan itu berkata, setakat suku kedua tahun kewangan berakhir 29 February 2024 (2QFY24), buku pesanan Pantech berjumlah RM350 juta (1QFY24: RM400 juta) manakala buku tender sebanyak RM400 juta (1QFY24: RM380 juta).
“Dalam jangka masa terdekat hingga sederhana, kami menjangkakan permintaan terhadap produk Pantech akan kekal kukuh memandangkan harga minyak dijangka berdaya tahan.
“Perang Israel dan Hamas menambah ketidakpastian dan premium risiko kepada harga minyak kerana kebimbangan terhadap perang yang semakin memuncak sehingga melibatkan negara-negara pengeluar minyak yang lain,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dengan andaian pembayaran dividen sebanyak 50%, TA Securities berkata kumpulan itu mempunyai dividen yang menarik, berpotensi menawarkan hasil dividen 6.6% hingga 7% untuk FY24-FY26.
Mengulas tentang prestasi kewangan Pantech pada 2QFY24, firma penyelidikan itu berkata keputusan suku ke suku (QoQ) adalah lebih baik namun lebih lemah dari segi tahun ke tahun (YoY).
“Keuntungan bersih teras 1HFY24 sebanyak RM49.4 juta, susut 2.6% YoY) mencapai 52% daripada jangkaan kami dan 51% daripada ramalan tahun penuh konsensus,” katanya.
Menurut TA Securities, pendapatan kumpulan susut 7.3% YoY disebabkan permintaan yang menyederhana dalam pasaran eksport bagi bahagian pembuatan (merosot 18.6% YoY) sejajar dengan kelembapan ekonomi global.
Ini berlaku walaupun segmen perdagangan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4% YoY disokong oleh penghantaran lebih tinggi kepada projek minyak dan gas tempatan.
Bagi perbandingan QoQ pula, pendapatan kumpulan meningkat 2.3% terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih baik di bahagian pembuatan dan pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat.
TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) 2024 pada 10 kali ganda.
Pada pukul 9:55 pagi ini, saham Pantech tidak berubah pada 86 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM731.3 juta. - DagangNews.com


