Prospek jangka pendek JHM Consolidation kekal lemah akibat permintaan semakin kurang, projek baharu ditangguh – Kenanga Research

Business & Finance
9 Jun 2023 • 10:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek jangka pendek JHM Consolidation kekal lemah akibat permintaan semakin kurang, projek baharu ditangguh – Kenanga Research

diyana

09/06/2023 - 10:43

KUALA LUMPUR 9 Jun - Prospek jangka pendek JHM Consolidation Berhad kekal tidak memberangsangkan berikutan permintaan produknya semakin berkurangan dan projek baharu ditangguh, kata Kenanga Research.

Susulan taklimat JHM pasca suku pertama tahun kewangan 2023 semalam, firma penyelidikan itu bercampur-baur terhadap prospek kumpulan, di mana segmen lampu automatif kekal sihat namun segmen perindustrian kekal lemah berikutan kadar tempahan perlahan.

“JHM kekal optimistik bagi segmen lampu automotif, disokong oleh sejumlah besar projek yang kini beralih ke peringkat pengeluaran besar-besaran,” katanya dalam nota hari ini.

Jelasnya, syarikat itu telah dianugerahkan 14 projek baharu oleh syarikat lampu automotif Amerika yang terkemuka dan pengeluaran telah pun dimulakan untuk enam model ini seperti yang dijadualkan.

Di samping itu, kumpulan itu telah selesai mengubah suai kilang baharunya seluas 44,000 kaki persegi di Sungai Petani, Kedah untuk pemasangan lampu belakang gabungan bagi pengeluar kereta tempatan yang disasarkan mula beroperasi menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan pemasangan tempatan bagi mengurangkan pergantungannya kepada China, di mana JHM ditugaskan untuk mengambil lebih banyak kerja pemasangan lampu automotif secara beransur-ansur daripada Jiangsu Dekai Auto Parts,” tambahnya.

Bagaimanapun, segmen perindustrian akan kekal lemah ekoran pelanggan menolak tarikh pengeluaran dan penghantaran.

Selain itu, cabaran daripada kesan kenaikan gaji berlarutan, turun naik kadar pertukaran asing dan tempoh menunggu untuk usaha niaga baharunya berkemungkinan kekal.

Kenanga Research berkata ia menyukai JHM disebabkan pendedahannya kepada pasaran LED automotif semakin berkembang.

Selain itu, kumpulan itu menjadi proksi kepada peningkatan permintaan untuk peralatan ujian 5G dan turut mempunyai margin yang lumayan daripada usahanya menjadi pengedap kaca hermetik.

“Memandangkan prospeknya yang bercampur-campur, kami mengekalkan ramalan kami, harga sasaran (TP) pada 75 sen sesaham dan saranan ‘market perform’,” rumusnya.

Pada pukul 10:40 pagi ini, saham JHM didagangkan pada 78 sen, naik 2.5 sen atau 3.3% dengan modal pasaran bernilai RM472.7 juta. -DagangNews.com