Prospek media tradisional dalam keadaan teruk, media digital terus kuasai adex - Kenanga Research

Technology
1 Apr 2024 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek media tradisional dalam keadaan teruk, media digital terus kuasai adex - Kenanga Research

herman

01/04/2024 - 10:58

KUALA LUMPUR 1 April - Prospek media tradisional berada dalam keadaan teruk dengan media digital terus menguasai perbelanjaan iklan (adex), kata Kenanga Research.

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'Underweight' ke atas sektor media iaitu televisyen, radio dan akhbar dengan tiada sebarang saham pilihan.

"Kami mengekalkan saranan Underweight pada sektor ini (media) kerana kami percaya prospek media tradisional kelihatan teruk.

"Ini melainkan mereka (media tradisonal) dapat membuat perubahan dengan cepat atau mengurangkan kos sehingga mereka meraih untung dengan selesa walaupun terdapat penguncupan hasil," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Kenanga Research berpandangan tidak mungkin media tradisional akan dapat memulihkan bahagian perbelanjaan iklan yang hilang kepada media digital.

Katanya, ini disebabkan oleh aliran minat beralih kepada penstriman atau web seperti Youtube, Spotify, Apple Music dan aplikasi mudah alih serta platform media sosial (Instagram, TikTok, Facebook, X).

Jelas firma itu, ternyata sejak tiga tahun lalu, bahagian adex media digital telah meningkat secara progresif daripada 15.7% pada suku keempat tahun kalendar 2020 (4QCY2020) kepada 23.5% pada 4QCY2023.

Kenanga mengekalkan ramalan adex bagi tahun kalendar 2024 (CY2024) iaitu menguncup sebanyak 0.3% (CY2023: + 1.7%) kerana perbelanjaan budi bicara pengguna akan mengambil kira pelaksanaan cukai baharu pada CY2024.

"Ia terdiri daripada cukai mewah (5%-10% ke atas barangan tertentu bernilai melebihi RM10,000) dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi sebanyak 8% (daripada 6%) ke atas transaksi yang layak.

“Bagaimanapun, sejajar dengan penguasaan dan daya tarikan pertumbuhan media digital, kami menjangkakan jumlah adex (kecuali digital) CY2024 akan menguncup lebih besar 1.8% tahun ke tahun (yoy) dan adex digital berkembang sebanyak 5% y-o-y,” katanya. - DagangNews.com