Protes merebak di Indonesia bantah isu kebakaran hutan, jerebu

LocalEnvironment
17 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Protes merebak di Indonesia bantah isu kebakaran hutan, jerebu

JAKARTA: Penduduk Indonesia menyertai bantahan di beberapa kawasan apabila kemarahan semakin memuncak terhadap kegagalan kerajaan menangani masalah kebakaran hutan dan tanah yang disifatkan terburuk dalam tempoh lebih sedekad di negara itu.

Walaupun selepas hampir tiga bulan, kebakaran hutan di negara itu masih gagal dikawal, sehingga langit di Kalimantan kini diselubungi jerebu tepal dan asap jingga.

Penunjuk perasaan menuntut usaha memadamkan kebakaran dipertingkatkan, tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab serta perlindungan lebih baik untuk masyarakat terjejas.

Menurut data Kementerian Kesihatan yang dipetik Reuters, jumlah kes penyakit pernafasan yang dikaitkan dengan kebakaran itu meningkat mendadak kepada 283,270 kes di tujuh wilayah Indonesia setakat 13 Oktober, lebih dua kali ganda berbanding 113,336 kes yang direkodkan setakat 9 September.

Penunjuk perasaan dilaporkan berhimpun di dua bandar di Kalimantan Tengah, iaitu wilayah Indonesia di Pulau Borneo, bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas untuk menangani kebakaran berkenaan.

Di Pangkalan Bun, wakil daripada 15 kampung dan kumpulan sukarelawan pemadam kebakaran berkumpul di sebuah bulatan jalan raya. 

Mereka menyampaikan ucapan bagi mendesak kebakaran itu diisytiharkan sebagai bencana nasional serta helikopter dikerahkan untuk menyiram air dari udara ke kawasan kebakaran yang tidak dapat dicapai oleh pasukan darat, menurut laporan media tempatan.

Penunjuk perasaan turut berhimpun ketika Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni mengadakan lawatan ke kawasan itu bagi menuntut kemudahan kesihatan yang lebih baik, bekalan air bersih dan alat pembersih udara untuk masyarakat terjejas.

Di Palangka Raya, ibu negeri Kalimantan Tengah, pelajar dan anggota kumpulan masyarakat setempat berhimpun di luar pejabat gabenor bagi menuntut ketelusan dalam penggunaan dana memadamkan kebakaran serta tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab melakukan pembakaran haram.

Bantahan itu sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap keputusan Jakarta untuk tidak mengisytiharkan kebakaran berkenaan sebagai bencana nasional, walaupun masyarakat di kawasan terjejas berulang kali mendesak kerajaan berbuat demikian.

Pengisytiharan sedemikian boleh memperkukuh pengawasan kerajaan pusat, meningkatkan penyelarasan antara wilayah terjejas serta mempercepatkan pengerahan sumber untuk memadamkan kebakaran dan menyalurkan bantuan kepada penduduk.

Wakil sebuah kumpulan masyarakat setempat di Kalimantan Tengah, Cornelis menegaskan, kriteria digunakan untuk mengisytiharkan bencana yang berlaku secara tiba-tiba seperti gempa bumi dan tsunami turut wajar diguna pakai bagi kebakaran hutan berikutan kesannya terhadap kesihatan penduduk.

“Jerebu mungkin tidak menyebabkan kematian serta-merta apabila kebakaran hutan dan tanah berlaku. Namun, mereka yang menyedutnya akan mengalami penyakit,” katanya menurut agensi berita nasional, Antara.

Empat individu maut ketika memadamkan kebakaran hutan di Pulau Jawa, Indonesia, yang menghasilkan asap toksik sehingga merentasi Asia Tenggara, menyebabkan sekolah ditutup dan aduan masalah pernafasan meningkat di rantau ini, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Kesan kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan itu mendorong pemimpin Singapura berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang bertanggungjawab atas kebakaran berkenaan, yang menyebabkan kualiti udara di rantau ini antara paling buruk di dunia.

Singapura sekali lagi menduduki tempat teratas dalam senarai masa nyata bandar utama paling tercemar di dunia oleh IQAir pada Jumaat, diikuti Kuala Lumpur di tempat kedua dan Jakarta di tempat keenam.

The post Protes merebak di Indonesia bantah isu kebakaran hutan, jerebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved