Proton e.MAS 7 2026 Diperkenalkan Pada Bermula RM99,800- Kini Dipasang Di Kilang Tempatan

LocalCars
20 Jan 2026 • 12:17 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional PROTON iaitu PRO-NET, hari ini secara rasmi memperkenalkan Proton e.MAS 7 model tahun 2026, sebuah kenderaan elektrik (EV) yang kini dipasang secara tempatan untuk pasaran Malaysia. Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekosistem EV dalam negara, dengan penawaran teknologi moden, ciri praktikal pada harga yang lebih mampu milik.

image is not available

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET,Zhang Qiang, pengeluaran tempatan serta harga kompetitif e.MAS 7 mencerminkan komitmen syarikat dalam menjadikan EV lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang telah menjadikan Proton e.MAS 7 sebagai EV terlaris di Malaysia pada tahun 2025. Dengan kemas kini bagi tahun 2026, termasuk ciri baharu dan spesifikasi yang disesuaikan untuk keperluan tempatan, e.MAS 7 dijangka menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan selesa.

Kemas Kini Proton e.MAS 7 2026

Bagi varian Prime, Proton e.MAS 7 2026 kini dilengkapi dengan powered tailgate yang membolehkan but dibuka dan ditutup hanya dengan menekan butang atau menggunakan alat kawalan jauh. Ciri ini memudahkan pengguna, terutamanya ketika membawa barangan.

Sementara itu, varian Premium menerima peningkatan ketara dari segi keselamatan melalui penambahan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi tiga ciri baharu. Ini termasuk Evasive Manoeuvre Assist (EMA) yang membantu pemandu mengelak halangan semasa kecemasan, Front Cross Traffic Alert (FCTA)yang memberi amaran kenderaan dari sisi di persimpangan, serta Active Lane Change Assist (ALCA) yang menyokong pertukaran lorong dengan lebih selamat.

Pakej Welcome Benefit & Power Pack +

Bagi meraikan pengenalan model 2026, PRO-NET menawarkan pakej Welcome Benefit bernilai RM4,000 untuk tempoh terhad. Pakej ini merangkumi pengecas rumah 7kW percuma, adaptor V2L, data internet tanpa had selama lima tahun, jaminan kenderaan tanpa had perbatuan selama enam tahun, serta jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km. Turut ditawarkan ialah rebat tukar beli eksklusif bernilai RM5,000 untuk pemilik kenderaan Proton sedia ada. Ini adalah harga OTR untuk Proton e.MAS 7 2026 :

Tanpa Welcome Benefit

  • e.MAS 7 Prime: RM103,800 (Semenanjung), RM106,800 (Sabah & Sarawak)
  • e.MAS 7 Premium: RM119,800 (Semenanjung), RM122,800 (Sabah & Sarawak)

Dengan Welcome Benefit

  • e.MAS 7 Prime: bermula RM99,800 (Semenanjung), RM102,800 (Sabah & Sarawak)
  • e.MAS 7 Premium: RM115,800 (Semenanjung), RM118,800 (Sabah & Sarawak)

PRO-NET menegaskan komitmennya dalam menyediakan pengalaman pemilikan EV yang lancar melalui teknologi canggih, pemasangan tempatan dan penyelesaian berfokuskan pelanggan. Proton e.MAS 7 2026 dilihat sebagai langkah penting ke arah masa depan mobiliti yang lebih hijau dan pintar untuk Malaysia.

image is not available