Proton akan mula memasarkan kenderaan elektrik (EV) berkuasa bateri pertama mereka di bawah jenama e.MAS. Terdapat ura-ura mengatakan kereta yang dikhabarkan menggunakan nama e.MAS7 ini akan mula dipasarkan pada bulan Disember hadapan. Kini menurut laporan Nextrift, besar kemungkinan e.MAS7 kelak adalah berasaskan Geely Galaxy E5.
Ini adalah berasaskan mesej WeChat oleh CEO of Proton New Energy Technology, Zhang Qiang yang memberikan gambaran ia berasaskan kenderaan Geely yang dilancarkan di China pada bulan Mei lalu dan akan ke pasaran global pada awal bulan Ogos ini.

Geely Galaxy E5. ialah sebuah SUV yang dilengkapi satu motor elektrik dengan kuasa 218 PS dengan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 175 kmj. Dua pilihan bateri yang ditawarkan memberikan jarak perjalanan 440 km dan 530 km mengikut piawaian CLTC. Di China harga jualan Galaxy E5 bermula sekitar RM 80,000 sebuah.
Proton telahpun mengumumkan komitmen mereka untuk melancarkan satu kenderaan tenaga baharu (NEV) setiap tahun semasa pelancaran X90 tahun lalu. Kemasukan Proton ke dalam arena EV adalah amat dinantikan bersama dengan Perodua dengan harapan mereka dapat menawarkan EV pada harga yang lebih mampu milik. Kesemua EV di pasaran tempatan dijual pada harga melebihi RM100,000 yang di luar kemampuan kebanyakan pengguna.
