Proton lancar pakej aksesori edisi ulang tahun ke-20 R3 Proton X50 berharga RM12,000
zulfadli
30/10/2023 - 09:42
KUALA LUMPUR 30 Okt - Berikutan kemunculan pertamanya di MARii Autoshow 2023 pada Mei lepas, Proton kini telah mengesahkan harga pakej aksesori edisi ulang tahun ke-20 R3 untuk Proton X50 pada sambutan X50 Karnival di ‘Proton Centre of Excellence’, baru-baru ini.
Direka untuk meraikan dua dekad jenama R3, pakej itu terdiri daripada pelapis vinil hitam satin, aerokit R3 rekaan khas (skirt hadapan, belakang dan sisi), jalur bonet R3, spoiler bumbung belakang bergaya, rim aloi ringan 18 inci R3, logo gril hadapan R3, plat nama belakang edisi terhad R3, dan plat nama papan.
Selain itu, pakej itu turut meliputi, instrumen dalaman, sulaman pada kepala kerusi R3 untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta tikar R3 dan 'tinted' tingkap Proton.
Terhad kepada 200 pakej dan hanya tersedia kepada pembeli Proton X50 1.5 TGDi berwarna jet grey, pakej aksesori edisi ulang tahun ke-20 R3 dijual pada harga RM12,000 termasuk pemasangan, dan boleh ditempah dari mana-mana cawangan Proton.
Penghantaran akan bermula dari pertengahan November.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, seiring dengan sambutan ulang tahun syarikat ke-40 tahun pada tahun 2023, ini adalah peluang yang tepat bagi Proton untuk mengiktiraf beberapa pencapaian yang lain.
Katanya, R3 telah sebati dengan kejayaan Proton dalam arena sukan permotoran serta pembangunan model lain dengan prestasi luar biasa untuk pelanggan yang merupakan peminat pemanduan.


"Hari ini, jenama R3 kekal popular dalam kalangan peminat Proton yang telah menunjukkan sokongan mereka dengan membeli produk jenama R3 dan minyak pelincir yang dirumus khas.

"Kami bersyukur atas semangat mereka dan ingin memberi ganjaran kepada mereka dengan pakej aksesori ini yang telah dibangunkan khas untuk model SUV Proton yang paling popular," katanya dalam kenyataan media di sini. - DagangNews.com
