Proton perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV lebih jimat minyak tanpa perlu pengecasan luaran

LocalCars
10 Nov 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Proton perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV lebih jimat minyak tanpa perlu pengecasan luaran Image from: Proton perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV lebih jimat minyak tanpa perlu pengecasan luaran amree10/11/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Proton Holdings Berhad memperkenalkan teknologi hibrid pintar baharu dikenali sebagai i-HEV menggunakan petrol sebagai sumber tenaga tanpa memerlukan pengecasan luaran, dengan pengguna boleh menikmati manfaat pemanduan yang tidak perlu bergantung stesen pengecasan.

 

Teknologi berkenaan menggabungkan enjin petrol khusus hibrid, dua motor elektrik dan sistem pengurusan tenaga pintar bagi menawarkan penggunaan bahan api yang lebih rendah serta prestasi pemanduan secara lancar dan cukup responsif.

 

Pengeluar kereta nasional itu berkata, i-HEV akan diperkenalkan menerusi model yang akan datang dengan kod nama AMA 02, sekali gus menandakan langkah baharu Proton dalam memperluas penawaran kenderaan hibrid yang boleh dijana elektrik kepada pengguna tempatan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, teknologi berkenaan dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan penjimatan bahan api, prestasi responsif dan kemudahan penggunaan tanpa perlu mengubah rutin harian untuk mengecas kenderaan.

 

"Teras sistem i-HEV ialah enjin petrol aspirasi semula jadi 1.5 liter yang dibangunkan khusus untuk kenderaan hibrid, dikenali sebagai Dedicated Hybrid Engine (DHE), dengan kuasa 111 PS, tork 136 Nm dan kecekapan terma maksimum 46.5%," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Enjin yang menggunakan kitaran pembakaran Atkinson itu dipadankan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) serta dua motor elektrik P1 dan P3, dengan motor pacuan utama menghasilkan tenaga hingga 163 PS dan tork 220 Nm bagi memberikan tindak balas lebih pantas ketika memecut atau mendaki.

 

Proton_DagangNews2026

 

Sistem tersebut turut dilengkapi bateri berkapasiti 1.38 kilowatt-jam (kWh) yang menyimpan tenaga elektrik, termasuk tenaga yang dipulihkan melalui sistem brek regeneratif ketika kenderaan itu memperlahankan kelajuan, manakala enjin petrol boleh menjana elektrik apabila diperlukan.

 

Ujar Abdul Rashid, Modul Kawalan Kuasa (PCM) pula menguruskan empat mod operasi secara automatik, iaitu EV, Siri, Selari dan Pacuan Terus, mengikut situasi kelajuan kenderaan, keperluan kuasa serta keadaan bateri tanpa memerlukan pemandu menukar mod secara manual.

 

"Sistem ini membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya apabila keadaan mengizinkan, selain menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik mengikut situasi pemanduan, termasuk ketika menghadapi kesesakan lalu lintas atau perjalanan jauh," tambahnya.

 

Dari sudut pembangunan industri tempatan, Proton turut mengeluarkan enjin DHE dan menjalankan pemasangan tempatan transmisi DHT serta unit pacuan elektrik (EDU) di kemudahannya di Tanjong Malim, Perak sekali gus memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi kenderaan elektrifikasi.

 

Abdul Rashid berkata, pembangunan keupayaan tempatan itu bukan sahaja meningkatkan kemahiran dalam pemasangan, pengujian dan kawalan kualiti, malah membantu membina asas industri automotif Malaysia untuk menjadi peserta aktif dalam pengeluaran serta pembangunan teknologi kenderaan masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved