johardy17/04/2026 - 10:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 April - Proton memperkenalkan Proton X70 Sport Edition (SE), varian edisi terhad dengan hanya 600 unit di seluruh negara, pada harga atas jalan bermula RM112,800 (tanpa insurans) bagi Semenanjung Malaysia, serta tambahan RM2,500 untuk pakej Sport Edition.
Berasaskan varian Premium bagi SUV segmen-C yang sudah mantap di pasaran, edisi khas ini dibangunkan untuk pelanggan yang mahukan interpretasi Proton X70 yang lebih sporty dan ekspresif, sambil mengekalkan keselesaan, teknologi serta praktikaliti yang menjadi identiti model tersebut.
Ditawarkan dalam warna eksklusif Quartz Black, model ini turut menampilkan pelbagai naik taraf luaran dan dalaman yang memperkukuh kehadiran premium di atas jalan raya.


Sebagai antara model paling dikenali, Proton X70 telah membina reputasi kukuh sebagai SUV yang menawarkan pengalaman pemanduan seimbang, menggabungkan keselesaan, teknologi pintar dan kegunaan harian.
Berpandukan tema “SUV Paling Refined Malaysia”, X70 Sport Edition memperkukuh asas ini dengan pendekatan reka bentuk yang lebih segar dan kontemporari, tanpa menjejaskan ciri utama yang menjadi kekuatan model berkenaan.
Terhad 600 unit sahaja
Terhad kepada 600 unit sahaja dan berasaskan varian Premium, Proton X70 Sport Edition memperkenalkan 10 naik taraf eksklusif yang meningkatkan penampilan serta kegunaan harian.
Dari segi luaran, model ini hadir dengan pakej aerokit penuh yang merangkumi skirt hadapan, sisi dan belakang. Ia turut dilengkapkan dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam serta lencana khas Sport Edition yang menyerlahkan identiti lebih agresif dan premium.

Di bahagian kabin, penambahbaikan halus tetapi signifikan meningkatkan suasana dalaman. Jahitan merah digunakan pada stereng dan perehat tangan, manakala tempat duduk turut menampilkan jahitan merah dengan sulaman logo Sport Edition, mewujudkan suasana lebih eksklusif dan berfokus kepada pemandu.
Dulang but juga disediakan bagi meningkatkan praktikaliti penggunaan harian.


Ada ADAS
Proton X70 Sport Edition dikuasakan enjin i-GT 4-silinder 1.5TD Proton, dipadankan dengan Transmisi Dual Clutch 7-kelajuan, menawarkan gabungan responsif dan kecekapan bahan api yang seimbang.
Pengalaman pemanduan turut dipertingkatkan menerusi sistem Ride & Handling Proton yang direka untuk memberikan kestabilan, keselesaan dan keyakinan dalam pelbagai keadaan jalan.
Di dalam kabin, model ini mengekalkan rangkaian teknologi pintar untuk meningkatkan kemudahan dan ketersambungan. Ia dilengkapi skrin infotainmen 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay® tanpa wayar dan Android Auto™, disokong sistem arahan suara “Hi PROTON” serta aplikasi PROTON Link 2.0 bagi integrasi digital yang lebih lancar.
Aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan dengan Proton X70 Sport Edition dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 ciri keselamatan. Ia termasuk Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assist (LKA) dan Autonomous Emergency Braking (AEB), antara lain, bagi meningkatkan tahap kesedaran serta bantuan pemanduan yang lebih selamat.


Pakej Khas
Secara keseluruhan, naik taraf produk bagi Proton X70 Sport Edition memberikan nilai tambahan sebanyak RM6,000 kepada pelanggan, dengan pengeluaran terhad kepada 600 unit sahaja.
“Proton X70 Sport Edition dibangunkan berasaskan kekuatan model yang telah lama dipercayai rakyat Malaysia. Dengan pengenalan ini, kami menawarkan interpretasi yang lebih dinamik dan refined, sesuai untuk pelanggan yang mahukan gaya lebih menyerlah tanpa mengorbankan keselesaan dan teknologi yang menjadi identiti model ini,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
Setiap pembelian PROTON X70 Sport Edition turut disertakan dengan Pakej Pelancaran eksklusif untuk kesemua 600 pelanggan, merangkumi:
• Pro-Warranty – Waranti 5 tahun tanpa had perbatuan serta 6 kali servis buruh percuma
• Pro-Connect – Pakej data dalam kereta 5 tahun dengan 2GB sebulan
• Pro-Finance – pilihan pembiayaan sehingga 9 tahun dengan kadar faedah bermula 2.2% setahun, serta margin pembiayaan sehingga 90%
• Pro-Trade-In – sokongan overtrade sehingga RM1,000 bagi pelanggan yang menukar kenderaan sedia ada
• Pro-Shield – Program Insurans PROTON yang menyediakan perlindungan dipertingkat termasuk perlindungan bencana khas, perlindungan kemalangan diri sehingga RM15,000 seorang, serta perlindungan banjir tambahan sehingga RM2,000

Tempahan Proton X70 Sport Edition boleh dibuat melalui laman web rasmi PROTON atau di semua bilik pameran sah di seluruh negara, dengan maklumat lanjut serta promosi terkini boleh didapati melalui saluran media sosial rasmi PROTON Cars. - DagangNews.com
