
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melancarkan program Teksi Madani di Dataran Merdeka dengan memperkenalkan Proton S70 sebagai teksi baharu negara.
Berbeza dengan teksi konvensional, Proton S70 ini tidak menggunakan papan tanda di bumbung. Sebaliknya, ia dilengkapi paparan LED pada cermin hadapan dan belakang yang memaparkan status Teksi atau E-hailing, membolehkan kenderaan digunakan untuk kedua-dua perkhidmatan.
Model ini turut menggunakan nombor pendaftaran khas GET JPJePlate, yang merujuk kepada Gabungan E-hailing dan Teksi. Reka bentuknya juga lebih moden tanpa bonet dan bumbung putih seperti teksi tradisional.
Di bahagian dalaman, Proton S70 dilengkapi taksimeter digital, skrin paparan iklan sebagai sumber pendapatan tambahan untuk pemandu serta pencetak resit yang ditempatkan di bawah konsol tengah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program Teksi Madani merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan industri teksi negara supaya lebih moden, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan ekosistem pengangkutan awam masa kini.




