Proton sasar capai 6,000 unit kenderaan tukar beli menjelang 2024

Business & FinanceCars
25 Oct 2023 • 12:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Proton sasar capai 6,000 unit kenderaan tukar beli menjelang 2024

zulfadli

25/10/2023 - 12:37

KUALA LUMPUR 25 Okt - Proton merancang untuk mengembangkan rangkaian kepada 60 cawangan dengan sasaran mencapai sekurang-kurangnya 6,000 unit dengan menjalankan lebih banyak acara tukar beli pada setiap suku tahun, menjelang 2024.

Bagi 2023, bahagian pengurusan kereta terpakai Proton menerima lebih 4,500 unit di 32 cawangannya dan berada di landasan untuk mencipta rekod baharu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, memandangkan volum jualan pihaknya terus berkembang, Proton perlu mempertimbangkan cara untuk memudahkan pengambilan, pengedaran dan pelupusan kereta terpakai untuk menyokong tempahan baharu.

Katanya, bahagian pengurusan kereta terpakai (UCM) Proton dibentuk untuk mencapai matlamat itu dan dengan bekerjasama dengan syarikat pembidaan dalam talian (EBC), pihaknya dapat menawarkan proses lebih cekap dan telus yang memudahkan pelanggan memiliki kereta baharu.

"Selain itu, kami juga menyasarkan jumlah jualan kereta ganti lebih tinggi, yang mana pemilik Proton semasa,menukar kenderaan mereka untuk yang baharu.

"Penukaran dalam rangkaian dengan lebih banyak pilihan adalah penting bagi kami untuk mengekalkan pelanggan semasa kami yang setia kepada jenama dan salah satu caranya ialah menstabilkan nilai kereta terpakai bersama rakan kongsi kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 624 tempahan baharu dibuat dengan 320 pelanggan memilih untuk tukar beli kenderaan mereka sempena penganjuran acara 'Trade-in Trade-Up Saturday' baru-baru ini.

image is not available

Menerusi acara anjuran Proton dengan kerjasama Carsome itu, seramai 1,552 orang menghadiri acara yang berlangsung di 32 cawangan Proton yang menjalankan program kereta terpakai syarikat.

Selain itu, Carsome turut menjalankan 489 pemeriksaan kenderaan pada hari itu, jauh melebihi sasaran awal 320 unit yang ditetapkan sebelum acara itu.

image is not available

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome, Eric Cheng berkata, ketelusan dan menawarkan nilai yang wajar kepada pelanggan adalah salah satu perkara ditekankan pihaknya ketika acara tersebut.

"Dengan memanfaatkan data daripada jarak tempuh, rekod latar belakang dan pemeriksaan kenderaan fizikal, kami memberikan tawaran kompetitif untuk nilai pasaran sebenar.

image is not available

"Kita dapat lihat minat yang tinggi di semua 32 lokasi semasa acara tersebut, dan Carsome berminat untuk terus memperkukuhkan kerjasama ini dengan Proton," katanya. - DagangNews.com