Setelah diacah dan diperlihat di beberapa ruang pameran seluruh negara, Proton X50 dengan wajah baharu akhirnya dilancarkan secara rasmi semalam. Proton X50 dengan wajah baharu ini menjalani perubahan bukan sahaja pada luaran tetapi juga dalam ruang kabin yang kini kelihatan lebih selari dengan citarasa semasa dan model X70 dan X90.

Perubahan paling besar dapat dilihat di hadapan dengan lampu yang lebih kecil seakan kucing membuatkannya nampak lebih sporty lengkap dengan sistem DRL. Gril kini lebih besar dengan ia mendominasi keseluruhan bahagian hadapan kenderaan. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, X50 baharu nampak kurang agresif. Mungkin ini akan dapat menarik perhatian pemilik yang berkeluarga.

Enjin dipertandingkan ke 1.5L TD i-GT empat silinder dengan kuasa 178 HP dan tork 290 Nm. Ini menggantikan enjin tiga silinder pada model terdahulu. Di bahagian dalam dua skrin LCD digunakan. Satu sebesar 14.6″ untuk kawalan sistem inforia serta pendingin hawa. Skrin sekunder 8.8″ pula diberikan kepada pemandu untuk paparkan maklumat pemanduan.

Pembantu maya Aisyah boleh diseru menggunakan Bahasa Malaysia bagi kawalan hanya menggunakan suara. Sistem Android Auto dan Apple Car Play turut disokong secara rasmi. Dua pad pengecas nirwayar diletakkan pada konsol tengah. Disebabkan itu tombol gear yang dahulunya di tengah diubah ke kanan stereng.

Dari sudut keselamatan pula ia dilengkapi radar belakang (RSRS), bantuan parkir, kamera HD 360°, dan sistem ADAS Tahap 2. Mode eksekutif ditawarkan dengan tayar 17″ sementara Premium dan Flagship pula dengan tayar 18″. Dua model lebih mahal turut mempunyai but automatik di belakang, dan kemasan dalaman dua tona lebih premium. Harga jualan di Malaysia adalah seperti di bawah.
- X50 1.5TD Executive – RM89,800
- X50 1.5TD Premium – RM101,800
- X50 1.5TD Flagship – RM113,800


