Siri Google Pixel 10 diramalkan akan dilancarkan pada bulan September depan. Seperti lazimnya, rekaan peranti Google akan tertiris awal dan kali ini ia menerusi laman telegram Mystic Leaks menunjukkan perbezaan yang kecil berbanding siri Pixel 9 dan spesifikasi cip Google Tensor G5 yang agak mengecewakan.

Peranti yang tertiris ialah Pixel 10 Pro dalam warna kelabu. Panel belakang masih menempatkan bonggol kamera berbentuk bujur dengan tri-kamera dan masih terdapat sistem lensa telefoto periskop. Talam SIM dipindahkan ke bahagian atas dengan di bahagian bawah pula mempunyai dua lubang memanjang untuk speaker yang mengapit port pengecasan USB-C.
Tubuh peranti kelihatan lebih tebal dengan bonggol kamera yang disebutkan tadi juga sedikit lebih tinggi. Ini memberikan harapan mungkin bateri lebih besar akan digunakan tahun ini. Di bahagian hadapan pula skrin rata dengan bezel nipis dipadankan dengan lubang kamera di bahagian tengah.

Spesifikasi mendedahkan cip Tensor G5 dengan konfigurasi teras 1x ARM Cortex-X4, 5x Cortex-A725 dan 2x Cortex-A520. Cip dipadankan dengan memori sebesar 16GB dan storan 256GB pada peranti yang tertiris. Konfigurasi teras CPU adalah sama dengan Tensor G4 cuma kali ini Tensor G5 dihasilkan menggunakan teknologi 3nm TSMC dan bukan lagi 4nm Samsung.
Google akan terus menggunakan cip Tensor rekaan sendiri kerana memberikan tumpuan kepada NPU untuk memproses kecerdasan buatan dan bukannya kuasa untuk menjalan permua seperti cip Snapdragon, Dimensity atau Apple A.
