Provok Rakan Mabuk, Warga Asing Maut Leher Dikelar

17 Jul 2023 • 9:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dua suspek warga asing ditahan kerana disyaki mengelar leher rakan mereka sehingga mati - gambar hiasan

JOHOR BAHRU -- Seorang lelaki warga asing maut selepas dikelar pada bahagian leher sebelah kanan dalam pergaduhan dengan rakan senegara di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung pergaduhan warga asing di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman berkenaan pada jam 11.15 malam, dua hari lalu.

“Sebaik tiba di lokasi, polis menemukan pekerja kedai berusia 37 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya, dalam kenyataan, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat. 

"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek yang dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan," katanya .

Bagaimanapun, Mohd Sohaimi, berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan dua suspek berusia 39 dan 40 tahun di kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang pada jam 12.10 tengah malam.. 

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis merampas tiga pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras, selain menemukan 13 'swab' kesan darah di lokasi kejadian dan pada badan suspek.

"Kedua-duanya suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- BERNAMA 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved