PRU-15 Bukan Soal Tukar PM Tapi Peluang Terbaik Selamatkan Malaysia

Politics
17 Nov 2022 • 9:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar berkata kerjasama antara semua kaum akan dilaksanakan sebagai usaha mencorak masa depan negara yang lebih sejahtera. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan menyeluruh demi memulihkan Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain untuk menyelamatkan negara, pilihan raya kali ini bukan hanya tertumpu kepada penukaran Perdana Menteri.

“Setiap lima tahun sekali, saudara punyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara, menentukan kerajaan bagaimana yang diimpikan.

“Manfaatkanlah kuasa demokrasi di tangan saudara dengan sebaik mungkin. Yakinlah bahawa kita masih punyai harapan,” katanya dalam perutusan khas Pengerusi PH yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Menurut calon Parlimen Tambun itu, sekiranya PH diberi mandat untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15, beliau tidak akan sesekali mengizinkan sikap permusuhan dan kebencian sesama kaum berlaku di negara ini.

Katanya, kerjasama antara semua kaum akan dilaksanakan sebagai usaha mencorak masa depan negara yang lebih sejahtera.

“Inilah caranya untuk menjamin kebajikan setiap rakyat Malaysia dan menzahirkan sikap ihsan, terutama buat mereka yang sedang menghadapi berbagai ujian dan cabaran.

“Pemimpin kita telah membuktikan kejujuran dan integriti. Menerusi khidmat mereka kepada rakyat, kita akan memulihkan keyakinan antara rakyat dengan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PH akan melaksanakan sistem ekonomi yang membela nasib semua kaum jika gabungan itu menerima mandat rakyat pada PRU-15.

Katanya, sistem tersebut akan dilaksanakan bagi menyelesaikan isu kos sara hidup tinggi dan kemiskinan, sekali gus memperbaiki kehidupan rakyat ke tahap yang belum pernah disaksikan.

Malah beliau turut berjanji, gabungan itu akan menambah baik mutu perkhidmatan awam dan membentuk kerajaan yang stabil.

“Apa yang kita perlukan saat ini sistem ekonomi yang membela nasib semua. Kita amat memerlukan satu kebijakan yang akan mendukung lebih 1.2 juta pengusaha kecil dan usahawan yang menjadi tulang belakang ekonomi dalam melonjakkan negara keluar daripada kemelut pandemik.

“Kita mesti lakukan yang terbaik dalam memastikan kebajikan ibu bapa kita terbela kerana wang simpanan mereka habis digunakan di saat pandemik menyerang serta menjamin masa depan yang gemilang buat generasi muda untuk mencapai kesejahteraan.

“Kita komited menyokong dan menjaga kebajikan semua penjawat awam. Insya-Allah, saudara akan menjadi saksi kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan awam serta komitmen yang diperbaharui untuk memperbaiki kehidupan rakyat ke suatu tahap yang belum pernah disaksikan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sebuah kerajaan akan stabil sekiranya pemimpin berkhidmat demi rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri.

Katanya, kestabilan kerajaan dibentuk itu akan terjamin jika pemimpin mempunyai akhlak baik, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Ini termasuk memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penetapan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Sementara itu, hak setiap rakyat berbilang kaum akan terus dipelihara dan maruah mereka dihormati laksana sebuah keluarga,” katanya. - Getaran, 17 November 2022