PRU-15 Ketika Musim Banjir ‘Kerja Gila’ - Syed Saddiq

Politics
18 Sep 2022 • 7:04 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan, langkah untuk mengadakan PRU-15 ketika bencana terbabit melanda negara sebagai ‘kerja gila’ - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak kisah sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara berdepan musim banjir.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan, langkah untuk mengadakan PRU-15 ketika bencana terbabit melanda negara sebagai ‘kerja gila’.

“Demi kuasa, sanggup membunuh rakyat dengan memaksa mereka berdepan banjir. 

“Bayangkan tahun ini, banjir ditambah pilihan raya? Menteri fokus undi, rakyat mati. Kerja gila!” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Mantan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ketika banjir melanda pada tahun lalu, rakyat kehilangan harta yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Katanya, sebanyak 50 kematian turut direkodkan dan bencana itu memberi kesan kepada 500,000 orang.

Semalam, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa di sini, Ahmad Zahid berkata, jentera parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyifatkan, isyarat diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

Pada hujung tahun lalu, bencana banjir yang melanda beberapa negeri, termasuk di Lembah Klang, dianggar mengakibatkan kerugian sebanyak RM15 bilion kepada ekonomi negara setakat ini.

Hujan lebat yang berlarutan selama dua hari pada Disember lalu itu, mengakibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dengan Selangor menerima kesan terburuk selepas lebih 20,000 mangsa dipindahkan ke 110 pusat pemindahan sementara (PPS). - Getaran, 18 September 2022