PRU-15: Lewat 2 Minit, Lelaki OKU Tak Sempat Daftar Sebagai Calon Bebas

Politics
5 Nov 2022 • 11:14 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Habib Bourguiba Abd Hamid (tengah) tiba 2 minit lewat sebelum tempoh penghantaran borang pencalonan sebagai calon Parlimen Titiwangsa di SMK Aminuddin Baki, ditutup dan tidak dibenarkan masuk. - Gambar oleh Fitri Nizam

KUALA LUMPUR - Hanya disebabkan terlewat dua minit, hasrat seorang individu orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Habib Bourguiba Abd Hamid, 53, untuk mendaftarkan diri sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Titiwangsa tidak kesampaian.

Pesara swasta itu berkata, ketika tiba di pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini yang dikhaskan untuk proses penamaan bagi kawasan berkenaan, pengisytiharan penamatan penghantaran borang diumumkan.

Mengakui kecewa dengan situasi itu, dia yang tiba diiringi dua individu berkata, kelewatannya disebabkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, selain terdapat beberapa lencongan jalan.

image is not available
Habib Bourguiba Abd Hamid kecewa kerana tidak dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon.

Menurutnya, dia keluar dari rumah di Kampung Datuk Keramat pada 8.50 pagi, namun tiba di sekitar pusat penamaan itu ketika jam menunjukkan 9.55 pagi.

“Bagaimanapun, ketika sedang berjalan kaki ke pagar utama pusat penamaan calon, Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon membuat pengumuman pengisytiharan penamatan masa untuk menghantar borang pencalonan.

“Saya agak kecewa, namun akan membuat bantahan kerana sepatutnya ada budi bicara daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui di luar pagar pusat itu.

Ketika ditanya mengapa berhasrat menjadi calon di Parlimen itu, Habib berkata, beliau ingin menyuarakan isu OKU, anak yatim dan warga emas.

“Isu tersebut amat dekat dengan saya dan ia perlu disuarakan supaya nasib golongan tersebut lebih terbela,” katanya.

Selepas beberapa minit menunggu, Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon, Firdzaus Said menjelaskan alasan mengapa Habib tidak dibenarkan masuk untuk menghantar borang pencalonan.

Firdzaus berkata, larangan dikenakan itu adalah berdasarkan undang-undang SPR, namun Habib mempunyai hak membuat bantahan berhubung perkara terbabit.

“Saya ikut undang-undang. Kalau saya longgarkan peraturan di sini, akan timbul masalah (tidak mengikut undang-undang). Saya minta maaf, ini isu peraturan,” katanya.

Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan SPR, Habib turut mengancam menularkan perkara itu.

“Saya akan viralkan perkara ini. Kita lihat kuasa Allah,” katanya. - Getaran, 5 November 2022