
KUALA LUMPUR - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang selesai pagi tadi menyaksikan beberapa calon bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Antara tokoh politik yang menghantar pencalonan untuk bertanding bagi dua kerusi ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang akan bertanding bagi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan dan DUN Cheka di Pahang di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar di Perlis yang disandangnya selama dua penggal selain turut mencuba nasib di DUN Titi Tinggi sebagai calon bebas.
DAP yang bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) turut menghantar dua calonnya untuk berentap di kedua-dua kerusi iaitu Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang akan bertanding di DUN Kepayang dan Parlimen Teluk Intan di Perak manakala Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pula di DUN Tras dan Parlimen Lipis di Pahang.
DUN Bugaya di Sabah yang kosong sejak November 2020 turut menyaksikan Naib Ketua Cabang PKR Semporna Arastam Pandorog mencuba nasib di kerusi itu bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya selain mempertaruhkan dirinya di Parlimen Semporna. DUN Bugaya kosong selepas penyandangya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 Nov 2020 kerana masalah buah pinggang.
Sementara itu, oleh kerana beberapa negeri tidak membubarkan DUN pada PRU kali ini, ia menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang antaranya dua menteri besar dan seorang ketua menteri berentap di kerusi Parlimen.
Mereka ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan ADUN Sungai Tua dan bertanding di Parlimen Gombak, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (ADUN Sikamat dan bertanding di Parlimen Port Dickson) serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (ADUN Padang Kota dan bertanding di Parlimen Batu Kawan).
Selain itu, Negeri Sembilan menyaksikan enam ADUNnya termasuk Aminuddin, menghantar pencalonan bagi kerusi Parlimen iaitu ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan di Parlimen Rembau, ADUN Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol), ADUN Senaling Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), ADUN Gemencheh Datuk Isam Mohd Isa (Tampin) dan ADUN Chennah Loke Siew Fook di Parlimen Seremban.
Parti Amanah Negara meletakkan dua ADUNnya di kerusi Parlimen iaitu Naib Presiden Adly Zahari yang merupakan ADUN Bukit Katil dan bertanding di Alor Gajah serta Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub (ADUN Simpang Jeram dan bertanding di Pulai).
Enam negeri yang tidak membubarkan DUN masing-masing atas alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin di negeri itu untuk fokus kepada kebajikan rakyat dan bencana banjir yang dijangka berlaku pertengahan bulan ini ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
DUN Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak pula baharu melalui Pilihan Raya Negeri dan kini belum mencapai tempoh matang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU-15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama
