PRU-15: Tengku Zafrul Tak Gentar Pertama Kali Dicalon, Janji Dengar, Hayati, Selesaikan

Politics
5 Nov 2022 • 5:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersalam dengan penyokongnya pada proses penamaan calon di Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini. - Gambar dari Facebook Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Meskipun pertama kali dipertaruh sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU), Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak gentar berdepan tiga lawan lain dan mahu berusaha sebaik mungkin mengembalikan Parlimen Kuala Selangor ke tangan Barisan Nasional (BN).

Beliau akan berdepan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi dimenangi calon AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika PRU-14 yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 8,498 undi.

Selain Tengku Zafrul dan Dr Dzulkefly, dua calon lain di kerusi itu adalah Mohd Shaid Rosli daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Mohd Noor Mohd Sahar (Perikatan Nasional-PAS).

“Jika langkah sudah terlangkahkan, berpantang dihela surut. Alhamdulillah, perjalanan saya ke hari penamaan calon pagi ini, didampingi Jentera Biru yang bersuara lantang menyahut cabaran demi mengembalikan mandat Keluarga Kuala Selangor kepada BN.

“Inilah masa kita untuk memberikan yang terbaik demi Kuala Selangor! Mohon doakan perjalanan saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Tengku Zafrul, 49, hadir ke Stadium Tertutup Kuala Selangor bagi menghantar borang pencalonan penamaan calon miliknya.

Segak berbaju Melayu biru, beliau diiringi isteri dan ratusan penyokong BN.

Menerusi platform sama, Tengku Zafrul berjanji akan berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat Kuala Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat, sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.

“Alhamdulillah, hari ini saya setapak lebih dekat dengan Keluarga Kuala Selangor.

“Jika diberi mandat, akan saya usaha sebaik mungkin untuk mensejahterakan semua lapisan masyarakat. Dengar. Hayati. Selesaikan. Inilah janji saya,” katanya.

Malah, muka baharu dalam politik itu juga bertekad mahu berjuang demi membawa kembali kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat di kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan perjalanan saya ini. Semoga Allah SWT berkati usaha kita yang sebelumnya, kini dan akan datang, Insya Allah,” katanya.

Kelmarin, Tengku Zafrul ketika ditemui media menegaskan, beliau tidak terkesan dengan sentimen pihak lawan yang menggelarnya ‘calon kayangan’, sebaliknya mahu memfokus kepada isu rakyat.

 “Saya nak komen satu sahaja...bacalah Bajet 2021 dan Bajet 2022. Lihat apa kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan laksanakan.

“Bacalah ucapan bajet kita untuk 2023 juga menunjukkan keprihatinan kita kepada rakyat,” katanya, hari ini.

Tengku Zafrul diumum sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020 di bawah Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum pengumuman rasmi terbabit, beliau yang memegang jawatan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) ketika itu, dilantik sebagai Senator bagi memegang portfolio berkenaan.

Sepanjang perkhidmatan, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin kerajaan yang tenang, tidak mudah melatah dan berwibawa tinggi.

Pada tahun ini, beliau mula berjinak dalam politik apabila dilantik sebagai Bendahari BN Selangor dan menerima watikah pelantikan jawatan itu pada 31 Julai lalu.

Menerusi wawancara dengan Cable News Network (CNN), Tengku Zafrul berkata, selaku seorang senator, tempoh perkhidmatannya terhad kepada enam tahun sahaja.

“Jika anda mahu terus berkhidmat untuk negara, anda perlulah menyertai politik secara aktif,” katanya. – Getaran, 5 November 2022