
GEORGE TOWN: Seramai 4,470 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan bertugas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata seluruh pasukannya telah bersiap sedia bagi menjaga ketenteraman dan memberi jaminan proses mengundi berjalan lancar.
“Semua pegawai dan anggota itu terlibat dalam beberapa penugasan termasuk menjaga lalu lintas. Kami jangkakan orang ramai akan pulang ke kampung halaman malam ini berikutan esok telah bermula cuti umum sempena PRU15,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak terutama penyokong parti supaya tidak membuat provokasi ketika hari pengundian dan selepas keputusan pilihan raya diperoleh bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Mohd Shuhaily berkata pihaknya menerima 34 laporan dengan 12 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRU15 ini berbanding 301 laporan dengan 27 kertas siasatan dibuka pada PRU14.
Beliau berkata bagi kertas enkuiri polis (KEP) pula, hanya satu sahaja dibuka pada pilihan raya ini berbanding 37 pada PRU14 dengan seramai empat individu dituduh pada kali ini berbanding dua pada PRU14.
“Kami tidak menolak kemungkinan jumlah laporan polis dan kertas siasatan yang dibuka berkurangan bagi PRU15 berbanding PRU14 disebabkan cuaca dan tiada pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang,“ katanya.
Menurut Mohd Shuhaily, setakat ini, sebanyak 1,253 permohonan permit ceramah telah diluluskan dengan 456 permit telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya bersama kerajaan Pulau Pinang dan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri telah mengenal pasti beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) alternatif sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi.
“Semua agensi termasuk polis sudah bersedia sekiranya berlaku banjir pada Sabtu ini. Lokasi pusat mengundi yang sebelum ini dijadikan PPS akan kekal sebagai pusat mengundi manakala jika terdapat mangsa banjir, mereka akan dipindahkan ke PPS alternatif di sekitar kawasan terlibat,“ katanya.-Bernama


