
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Misi Datuk Seri Abd Rahman Dahlan menawan kerusi Parlimen Kota Belud gagal apabila penyandangnya, Isnaraissah Munirah Majilis kekal mempertahankan kerusi berkenaan.
Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Isnaraissah Munirah daripada Parti Warisan (Warisan) memperoleh sebanyak 25,148 dengan jumlah majoriti sebanyak 4,582 undi.
Abd Rahman yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh sebanyak 20,566 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Madeli @ Modily Bangali dengan jumlah undi sebanyak 8,323.
Parlimen Kota Belud mempunyai seramai 79,885 pengundi berdaftar dan jumlah undi sebanyak 54,037 serta peratusan mengundi sebanyak 67.64 peratus.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Munirah berjaya menumbangkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dengan jumlah majoriti sebanyak 4,262 undi.
Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mempertahankan kerusi Parlimen Keningau pada PRU15.
Jeffrey yang bertanding atas tiket GRS memperoleh sebanyak 23,155 undi dengan majoriti 8,056 undi.
Beliau sekali gus berjayamenewaskan tiga lagi pesaingnya iaitu dari PH, Grelydia Gillod dengan jumlah undi 15,099, Datuk Jake Nointin dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebanyak 9,598 undi dan Rasinin Koutis @ Kautis daripada Parti Warisan (Warisan) yang memperoleh sebanyak 7,020 undi.
Pada PRU14 yang lalu, Jeffrey berjaya memenangi kerusi tersebut dengan jumlah undi sebanyak 13,286 undi.

