PRU15 akan diteruskan: PM

Politics
15 Oct 2022 • 1:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

JASIN: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diteruskan meskipun terdapat beberapa negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata semua negeri berhak untuk membubarkan DUN masing-masing pada bila-bila masa.

“(Bagaimanapun), saya mencadangkan dan mengesyorkan jika boleh diadakan secara bersama (pembubaran Parlimen dan DUN) tetapi keputusan telah dibuat oleh enam negeri.

“Jadi pilihan raya (PRU15) akan diteruskan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 di sini pada Jumaat.

Khamis lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ismail Sabri berkata mengadakan pilihan raya berasingan akan menyusahkan rakyat yang terpaksa keluar mengundi dua kali dan melibatkan perbelanjaan tinggi untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas mengenai keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata Umno telah menjangkakan perkara tersebut lebih awal.

Justeru itu, beliau berkata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah membuat beberapa kenyataan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) bersedia bergerak solo pada PRU15.

Bagaimanapun, katanya beliau menghormati keputusan mana-mana parti dan menyifatkan tindakan PAS sebagai hak parti berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Khamis lepas memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 dan ia dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Sementara itu di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 berkuat kuasa Jumaat, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Wan Rosdy berkata beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.

Beliau berkata selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat.

“Tarikh hari ini (Jumaat) dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Di KANGAR, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man turut mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis ke-14 berkuat kuasa Jumaat.

Azlan berkata pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya beliau dan Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.

“Alhamduillah baginda telah memberi perkenan dan tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.