PRU15: Amanah Perak dapat tambahan lapan kerusi DUN, dua Parlimen

Politics
28 Oct 2022 • 3:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Amanah mendapat lapan kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi di Perak bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta tambahan dua kerusi Parlimen berbanding PRU14, kata Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi.

Beliau berkata Amanah akan bertanding di 20 kerusi DUN iaitu pertambahan lapan kerusi berbanding 12 kerusi pada PRU14, dan enam kerusi Parlimen dengan dua kerusi tambahan iaitu di Larut dan Bukit Gantang, selain Parit Buntar, Kuala Kangsar, Lumut dan Parit.

Asmuni yang akan disenaraikan semula sebagai calon untuk kerusi DUN Manjoi berkata pertambahan kerusi DUN untuk Amanah itu melibatkan Pengkalan Hulu, Kota Tampan, Gunung Semanggol, Lubok Merbau, Manong, Belanja, Changkat Jong dan Kubu Gajah.

Beliau berkata Amanah akan menampilkan 15 muka baharu pada PRU15 iaitu 12 di DUN dan tiga Parlimen.

“Ini memberi nafas baharu yang diyakini boleh menjamin kemenangan kelak. Kita tunggu pengumuman calon secara rasmi bila tiba masanya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata penyandang Parlimen Parit Buntar iaitu Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusuf dan Parlimen Lumut Datuk Mohd Hatta Md Ramli akan kekal bertanding di kerusi masing-masing.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov depan.-Bernama