PRU15: Anwar berdepan tiga saingan di Parlimen Tambun

5 Nov 2022 • 12:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

IPOH, 5 NOV: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri Pakatan Harapan (HARAPAN), akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Tambun Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi.

Anwar tiba di pusat penamaan calon pukul 8.58 pagi manakala Aminuddin dan Ahmad Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru di sini hari ini.

Suasana pekarangan pusat penamaan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk ke pusat penamaan calon.

Perkarangan tersebut turut dikawal ketat polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket HARAPAN yang menggunakan logo KEADILAN, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved