
SEREMBAN: Calon kerusi Parlimen Rembau mewakili Perikatan Nasional (PN) Mohd Nazree Mohd Yunus yakin mampu melakar sejarah dengan menawan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan itu optimis ia mampu dicapai menerusi gerak kerja parti yang berkesan, selain mendapat sokongan padu terutama daripada hampir 70 peratus pengundi dalam golongan muda di kawasan itu serta wanita dan warga tua.
“Mereka ini adalah orang yang ada pengalaman dan ilmu serta boleh menilai pilihan yang ada (calon). Saya juga yakin PN mampu satukan hubungan antara kaum dengan baik. Pilihan raya merupakan medan dakwah untuk sebarkan ilmu.
“Kita lawan orang lama di Rembau (calon BN) tapi kita mahu keputusan baharu, saya yakin anak muda bersama dengan pendirian itu, kita mahu satukan kepimpinan dan parti baharu di situ,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Pemuda PN Parlimen Rembau di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Rembau menyaksikan persaingan lima penjuru dengan BN menampilkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan manakala Pakatan Harapan diwakili Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.
Calon lain terdiri daripada Ramly Awalludin (Gerakan Tanah Air-Pejuang) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.-Bernama

