PRU15: Contohi PRN Johor pilih kerajaan stabil

Politics
17 Nov 2022 • 9:01 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad (gambar) meminta pengundi supaya membuat keputusan tepat dalam memilih pembentukan kerajaan yang stabil pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Beliau berkata adalah penting untuk membuat keputusan tepat supaya kerajaan yang dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil serta dapat memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

Katanya, pengundi perlu mengambil contoh kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu, yang berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan progresif.

“Buat pilihan yang tepat agar nasib negara pada lima tahun yang akan datang terjamin,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini, hari ini.

Hasni akan bersaing dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, yang turut melibatkan penyandang iaitu calon Pakatan Harapan Dr Maszlee Malik, Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) dan Kamal Kusmin (Gerakan Tanah Air).

Maszlee memenangi kerusi berkenaan pada PRU14 dengan majoriti sebanyak 3,475 undi.-Bernama