PRU15: Lebih 10 penyandang kerusi Parlimen Pas kekal

Politics
30 Oct 2022 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Takiyuddin (lima dari kanan) beramah mesra dengan media semasa majlis ramah mesra beliau bersama media Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Pas mengekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen yang dimenangi oleh parti itu sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pertukaran calon bagi kerusi Parlimen itu adalah perkara biasa yang dilakukan oleh mana-mana parti politik termasuklah Pas.

"Ia adalah amalan biasa dalam politik, ada pertukaran yang kita rasakan perlu untuk memastikan kemenangan kepada parti," katanya pada majlis ramah mesra bersama media Kelantan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pada PRU15 Pas memutuskan untuk bertanding di 60 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Tambahnya, Pas menyasarkan untuk menang 40 kerusi Parlimen daripada 60 yang ditandingi.

Ujar beliau, keyakinan itu berpandukan kepada perkhidmatan cemerlang dan rekod bersih yang dipamerkan oleh wakil rakyat Pas.