
SHAH ALAM: Polis Selangor akan menempatkan 13,836 pegawai dan anggota polis di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (gambar) berkata mereka akan ditempatkan di pelbagai lokasi antaranya pusat dan saluran mengundi serta pusat penjumlahan undi.
Beliau berkata seramai 4,956 pegawai dan anggota pula akan ditugaskan di 22 pusat penamaan calon sempena hari penamaan calon esok.
“Jumlah yang ditugaskan di pusat penamaan calon tidak termasuk anggota dalam keadaan siap siaga di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah, bilik gerakan dan sebagainya,” katanya pada sidang media PRU15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Arjunaidi berkata seramai 290 pegawai dan anggota sukarelawan polis pula akan digerakkan untuk membantu tugas-tugas tidak kritikal seperti penugasan di balai polis.
Pihaknya turut memberi perhatian terhadap kawasan Parlimen yang dianggap kerusi panas dan dijangka sengit seperti Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Gombak dan Sungai Buloh terutamanya sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian, katanya.
“Pada masa sama, kita mengambil kira kerusi yang dipertandingkan oleh calon heavy weight iaitu di Gombak, Shah Alam, Sungai Buloh, Ampang, Pandan, Kuala Selangor dan Sepang,“ katanya.
Arjunaidi berkata pihaknya mengenal pasti 77 lokasi panas di seluruh negeri dan akan menempatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi memastikan tiada pihak yang membuat gangguan sepanjang tempoh berkempen.
Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap sebuah parti politik yang mengadakan kempen dan perhimpunan di Petaling Jaya tanpa mematuhi Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 semalam.
Beliau turut mengingatkan calon serta parti politik supaya tidak berkempen di masjid dan surau kerana ia tidak dibenarkan.-Bernama

