

IPOH - [DIKEMAS KINI] Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mensabotaj agenda pembangunan ekonomi bumiputera ketika 22 bulan memerintah suatu pengalaman yang amat menyeksakan.
Perkara itu didedahkan sendiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kerajaan PH ketika itu tidak menghormati perkara-perkara utama yang menjadi tunjang negara.
Dakwanya, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng menarik balik peruntukan sejumlah RM2 bilion yang telah disediakan untuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
Kedua-dua agensi utama ini waktu mana kita di dalam mesyuarat ditekan oleh Menteri Kewangan tidak lain tidak bukan Lim Guan Eng. Ada beberapa ketika menunjukkan beliau langsung tidak mahu menghormati agensi seperti Teraju dan beberapa peruntukan yang telah disediakan diambil balik malahan dihentikan teraju dan tidak diwujudkan.
"Kemudiannya kami wujudkan semula Teraju untuk menjamin kelangsungan masa depan bumiputera di negara kita. Ekuinas yang telahpun tertubuh oleh kerajaan terdahulu dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, Lim Guan Eng buat keputusan bahawa peruntukan itu diambil balik oleh Kementerian kewangan.
"Ini bermakna tidak menghormati satu lagi agensi bumiputera yang ditubuhkan oleh kerajaan dan langkah-langkah yang diambil langsung tidak memberi perhatian kepada nasib bumiputra dalam pembangunan ekonomi di negara kita ini menerusi dua contoh ini," katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun PN di Bandar Meru Raya, di sini pada malam Ahad.
Pada program jelajah itu, turut berucap ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.
**media[1982789]**
Beliau berkata, hanya selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, barulah peruntukan RM2 bilion tersebut diserahkan semula dan dikekalkan.
Sementara itu, Muhyiddin turut mendedahkan bagaimana Guan Eng mengambil keputusan menarik balik peruntukan yang disediakan untuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebanyak RM300 juta.
Katanya, walaupun UTAR itu diwujudkan oleh MCA, tidak seharusnya peruntukan untuk pendidikan anak-anak ditarik balik.
"Agak luar biasa seorang Cina yang sewajarnya menyokong pendidikan untuk masyarakat Cina mengambil tindakan drastik untuk ambil balik peruntukan itu dan tak diberikan peruntukan kepada universiti berkenaan.
"Hanya waktu mana PN yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri, kita memulangkan balik peruntukan itu kerana ini peruntukan berkaitan pendidikan," katanya.

