PRU15: Pas Pahang yakin mampu tambah kerusi

Politics
28 Oct 2022 • 10:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rosli Abdul Jabar

KUANTAN - Pas Pahang yakin bahawa parti Islam itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, bagi mencapai hasrat itu rakan gabungan parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedang bekerja keras untuk menewaskan BN.

Tegasnya, Pas telah memenangi lapan kerusi pada pilihan raya yang lalu ketika bertanding secara solo dan kalah tipis di beberapa kerusi lain.

"Insya-ALLAH kali ini Pas akan masuk PRU15 (bertanding) secara gabungan bersama Bersatu dan Gerakan. Dengan sokongan baru daripada parti gabungan ini kita yakin PN akan mendapat pertambahan kerusi.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menyaksikan undi BN tidak bertambah, namun peningkatan dan penambahan undi begitu mendadak kepada PN. Jika trend ini berlaku di Pahang, kemungkinan PN dapat memerintah negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan bertekad untuk memastikan Pas tewas lapan kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Wan Rosdy dilaporkan berkata, Pas sanggup 'kehilangan' lambang perjuangan mereka apabila menyertai gabungan PN.