PRU15: Penglibatan NGO jadi faktor kemenangan kepada GTA - Marzuki

Politics
8 Nov 2022 • 8:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUNGAI PETANI: Gerakan Tanah Air (GTA) yakin penglibatan calon daripada badan bukan kerajaan (NGO) dalam gabungan itu, boleh menjadi faktor kemenangan kepada mereka untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Setiausaha Penajanya Datuk Marzuki Yahya (gambar).

Beliau berkata penyertaan NGO melalui komponen Gagasan Bangsa (GB), dapat mengangkat suara pakar-pakar pelbagai bidang dalam pembentukan dasar kerajaan, sekiranya GTA menang PRU15.

Katanya, wakil NGO yang diketengahkan sebagai calon di bawah GB pada pilihan raya ini mempunyai pelbagai latarbelakang seperti pendidikan, ekonomi, kebajikan penjaja dan alam sekitar.

“Mereka sebelum ini hanyalah kumpulan pendesak, dan mereka tidak pernah merasai bagaimana terlibat secara langsung dalam membentuk sesebuah dasar dalam kerajaan.

Sebab itu kami mengajak mereka untuk menubuhkan gabungan bersama-sama. Wakil GB kami letak sebagai calon GTA, di mana mereka akan memainkan peranan serta mempunyai suara dalam pembentukan dasar, sekiranya berjaya menganggotai Parlimen,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata GTA yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), berdepan cabaran untuk menerangkan kepada pengundi tentang perjuangannya dan alasan ia bertanding menggunakan logo Pejuang.

“GTA tidak dapat diluluskan pendaftaran, jadi kita bersepakat untuk menggunakan logo Pejuang pada PRU15. Dalam tempoh kempen ini, cabaran yang kami hadapi adalah masih ramai yang tertanya-tanya tentang kehadiran kami, apa itu Pejuang? Mesej kami belum lagi mencapai 100 peratus jika dibandingkan dengan parti-parti lain,” katanya.

GTA merupakan pakatan empat parti politik iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.-Bernama