PRU15: Pengundi muda Sabah cenderung pilih calon mesra rakyat

Politics
17 Nov 2022 • 4:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA KINABALU: Pengundi muda di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih cenderung memilih calon mesra rakyat selain mampu membawa penyelesaian kepada masalah pendapatan rendah, pemilikan rumah dan kos sara hidup.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan berkata calon yang bertanding perlu bijak mendekati 932,541 pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun kerana mereka mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri ini iaitu seramai 1,689,387 orang.

“Pengundi muda lebih cenderung memilih wakil rakyat yang berperwatakan sederhana dan senang didekati serta mudah dihubungi pada bila-bila masa,” katanya kepada Bernama.

Abqaree Fawwaz dalam pada itu berkata maklum balas yang diterima daripada pelbagai kelab dan persatuan belia di Sabah memberi gambaran penyertaan pengundi muda pada PRU15 berkemungkinan rendah disebabkan tahap kefahaman politik yang minimum selain kekangan kewangan untuk pulang ke kawasan masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas itu, dijangka peratus keluar melibatkan pengundi muda di Sabah sukar mencapai 50 peratus pada hari pengundian Sabtu ini.

Pemerhati politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto berkata kebanyakan pengundi muda masih menganggap mengundi tidak penting kerana tidak menerima pendedahan awal tentang kepentingan mengundi sebagai proses pembentukan kerajaan.

“Kebanyakan pengundi muda masih dikategorikan sebagai ‘atas pagar’, malah masih belum cukup matang untuk membuat keputusan atau membuat sebarang pendirian politik.

“Mana-mana pihak yang berjaya memenangi hati mereka dengan tawaran manifesto menarik boleh mendapat sokongan pengundi muda,” katanya dan menambah dalam situasi politik semasa, boleh dikatakan pengundi muda berpotensi sebagai penentu kemenangan calon di setiap kawasan.

Mohd Zaki yang juga aktivis sosial yang aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) dan Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) berkata isu penting dihadapi pengundi muda bergantung kepada situasi semasa selain lokaliti.

“Pengundi muda di kawasan bandar, mereka akan melihat isu berkaitan peluang pekerjaan yang lebih besar serta peluang ekonomi yang lebih luas selain akses teknologi yang lebih pantas dan cekap sebagai keutamaan.

“Bagi pengundi muda di kawasan luar bandar, pasti sahaja mereka mahukan pembangunan kemudahan asas seperti elektrik, air, komunikasi dan liputan Internet serta prasarana pendidikan setanding dengan tempat lain,” katanya dan menambah kemudahan sukan juga antara sering dibangkitkan kerana ia keperluan bagi golongan muda.

Seorang kerani yang juga pengundi muda, Siti Jumurah Laudin, 23, berkata media sosial merupakan antara platform paling penting untuk calon meraih sokongan pengundi muda di Sabah namun menasihatkan agar berhati-hati dengan kandungannya.

“Kita jangan terlalu terpengaruh dengan apa yang kita lihat di media sosial, ia (media sosial) suatu platform yang baik untuk dapatkan maklumat tetapi kita kena bijak menilai terutama apa yang ditawarkan setiap calon, seterusnya kita boleh memilih dengan bijak,” katanya yang berasal dari Pulau Gaya.

Fauzi Kintinalas, 25, seorang jurukamera berkata pengundi muda mampu menjadi penentu keputusan PRU15 di Sabah kerana bilangan merka yang ramai selain mengundi berdasarkan isu semasa serta calon yang bertanding.

“Pengundi berusia selalunya memilih satu parti yang mereka sudah biasa dan terbukti mampu membantu mereka, kemudian memilih parti itu sahaja tanpa berubah. Ini berbeza pengundi muda, kami nilai berdasarkan calon, apa dia boleh buat dan isu semasa,” katanya yang berasal dari Kinarut.-Bernama